am@hmetro.com.my
Shah Alam: Dakwaan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Tua akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bertanding adalah sekadar imaginasi.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang juga penyandang Dun itu berkata, beliau secara peribadi dan juga pandangan Pakatan Harapan secara keseluruhannya mahu melengkapkan penggal ini dengan sempurna dan damai.
“Setakat ini, itu masih lagi cakap-cakap dan saya rasa dia (individu berkenaan yang mendakwa kekosongan itu) ada imaginasi. Cuba ‘impose’ imaginasi dia kepada awam melalui hantaran-hantaran yang dikeluarkan di media sosial dan sebagainya.
“‘It’s not that simple’ (kekosongan Dun Sungai Tua). Ia perlukan penelitian yang jitu dalam hal tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, fokus yang penting sekarang adalah untuk meluruskan kepimpinan dan memberi tumpuan kepada beberapa isu membabitkan kestabilan Kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Tentang kekosongan itu (jawatan Menteri), saya rasa itu kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Ketika ditanya adakah beliau sudah ‘dirisik’ untuk jawatan Menteri sekiranya mengosongkan Dun Sungai Tua, Amirudin segera menafikannya.
“Setakat ini tak ada (risikan) kerana itu hanya cakap-cakap sahaja,” katanya.
Mengulas keinginan Tengku Zafrul menyertai PKR, Amirudin berkata, parti tidak boleh menafikan kecemerlangan ditunjukkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai menteri.
“Kita berbesar hati beliau memilih PKR sebagai wadahnya dan saya pernah sebutkan sebelum ini adalah lebih baik dia menyertai rakan dalam gabungan.
“Sekurang-kurangnya dia masih lagi memberikan sokongan dan juga kepakaran berbanding beliau menjadi pembangkang dan menyerang,” katanya.
Sebelum ini, Tengku Zafrul menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua Umno Bahagian Kota Raja serta ahli Umno berkuat kuasa serta-merta.
Beliau juga mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Anwar dan Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




