am@hmetro.com.my
Dungun: “Dia mungkin tergelincir sebelum ditarik masuk ke kawasan air yang berpusar itu,” kata Nor Ahmad Anas Muiz Norazeli, 19, menceritakan kejadian lemas membabitkan rakannya ketika mereka mandi di Tasik Bukit Besi, di sini, hari ini.
Pelajar diploma Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Bukit Besi, Amirul Danish Zamri, 19, ditemui lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jam 12.45 tengah hari.
Nor Ahmad Anas, 19, berkata, kira-kira 11 pagi, dia bersama mangsa serta 11 lagi rakan mandi di kawasan air terjun itu disebabkan sudah biasa mandi di situ dan jaraknya dekat dengan berjalan sejauh satu kilometer dari kampus.
“Kami mandi di kawasan air sedalam satu meter. Amirul duduk dekat dengan saya dan dia hanya beberapa kali menyelam dan berenang di sekitar kawasan yang berbatu itu.
“Ketika dia berdiri dan berjalan-jalan di dalam air, secara tiba-tiba dia kelihatan seperti tergelincir sebelum masuk ke dalam kawasan pusaran terbabit,” katanya.
Nor Ahmad Anas berkata, dia cuba membantu dengan menarik tangan Amirul apabila dilihat terkapai-kapai, malah saling berpegangan tangan dengan enam lagi rakan untuk menariknya tetapi gagal.
“Apabila kami gagal capai tangan dia dan Amirul tenggelam, saya segera menghubungi talian kecemasan sambil rakan-rakan lain berlari meminta bantuan orang ramai,” katanya.
Menurutnya lagi, mereka sudah lama bersahabat baik, malah semakin erat sejak kakaknya berkahwin dengan abang arwah Amirul Danish dan selepas mereka sama-sama ke UiTM.
“Dia sahabat yang sangat baik dan tidak sombong dan sentiasa ceria dan suka bergurau. Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan dan saya tak sangka percutian ini yang terakhir buat kami,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Zamri Zainodin, 55, berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu pada Ahad minggu lalu dan menyifatkan anak keempat daripada lima beradik itu seorang yang rajin membantunya membuat kerja rumah selain rapat dengan adik beradik lain.
“Dia balik ke rumah pada Sabtu minggu lepas dan pada Ahad itu, saya hantar dia pulang ke kampus,” katanya memaklumkan tidak mengesan sebarang perubahan anaknya, dan sangat terkejut apabila mengetahui Amirul lemas.
Katanya, dia bergegas ke tempat kejadian selepas diberitahu anak lain mengenai kejadian dan berharap Amirul dapat diselamatkan.
“Namun apakan daya, saya reda pemergiannya dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Pintasan sebaik selesai urusan bedah siasat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




