AMM ke-58 forum luar biasa, kunjungan bermakna – Rubio

AMM ke-58 forum luar biasa, kunjungan bermakna – Rubio

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menyifatkan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang dianjurkan Malaysia sebagai forum yang luar biasa dan kunjungan pertama beliau ke negara ini amat bermakna.

Rubio berkata, beberapa mesyuarat yang dihadirinya berlangsung dengan baik, dengan beberapa hasil penting dicapai, termasuk dengan Malaysia dan beberapa negara lain.

“Kami menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia mengenai kerjasama tenaga nuklear awam, satu perkembangan yang sangat positif.

“Selain itu, hubungan dengan beberapa negara juga menyaksikan peningkatan, yang akan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Ini juga pembabitan yang sangat memberangsangkan.

“Kami turut mengadakan beberapa perjanjian pertahanan atau penjualan peralatan pertahanan kepada beberapa rakan kerjasama kami sepanjang lawatan ini.

“Perkara ini akan diumumkan secara rasmi tidak lama lagi, jadi pembabitan kami sangat positif dan kami juga mengenal pasti bidang kerjasama baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China, Wang Yi dan beberapa Menteri Luar ASEAN di luar AMM ke-58 di sini, hari ini.

Rubio tiba di sini semalam bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sempena AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dianjurkan Malaysia dari 8 hingga 11 Julai, di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.

Rubio berkata, ASEAN adalah saluran utama bagi AS menjalinkan hubungan diplomatik di Asia Tenggara dan negara itu mempunyai hubungan yang erat dengan rantau ini.

Selain itu, Rubio memaklumkan, salah satu perkara yang diberi perhatian dalam perbincangan dengan pemimpin ASEAN adalah usaha membanteras penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

“Kami percaya penjenayah siber ini memberi kesan yang buruk, bukan hanya menyasarkan rakyat AS, malah menjejaskan rakyat di negara ASEAN.

“Justeru, kami berharap akan ada hasil yang nyata dalam isu ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top