Manchester: Pengendali Manchester United, Ruben Amorim, mengakui pasukannya kekurangan kepantasan dan masih tumpul di jentera serangan selepas sekadar seri 0-0 menentang Leeds dalam aksi pramusim pertama mereka.
United hanya meledak 44 gol musim lalu dalam saingan Liga Perdana dan kekal gagal menemui sentuhan penyudah walaupun menyenaraikan pemain baharu, Matheus Cunha, yang membuat debut selepas perpindahan bernilai £62.5 juta (RM386 juta) dari Wolves.
Cunha memulakan aksi sebagai pemain menyerang kiri tetapi gandingan bersama Bruno Fernandes tampak belum menjadi, malah Amorim menjelaskan kombinasi itu bukan seperti yang beliau mahukan.
“Kami kekurangan kepantasan, terutama di bahagian tengah. Sukar untuk bawa bola ke depan.
“Kami cipta peluang, tetapi masih banyak perlu diperbaiki,” katanya kepada MUTV.
Amorim berharap kehadiran Bryan Mbeumo dari Brentford dapat menyuntik kelajuan yang diharapkan, tatkala bintang Cameroon itu hampir pasti menyertai skuad Red Devils dalam masa terdekat.
Beliau turut mengakui Cunha menunjukkan karakter agresif yang diperlukan tetapi masih belum serasi sepenuhnya dengan Fernandes manakala beberapa pilihan lain seperti Kobbie Mainoo dan Mason Mount mungkin diuji dalam kombinasi akan datang.
“Kita perlu tingkatkan kualiti di zon serangan terakhir,” katanya.
Dalam pada itu, bintang England, Marcus Rashford, adalah antara lima pemain yang berkemungkinan besar meninggalkan kelab musim panas ini, dengan Barcelona antara kelab yang dikaitkan.
Bagaimanapun, Amorim menegaskan suasana dalam skuad masih positif meskipun ramai pemain berdepan ketidakpastian masa depan.
“Kalau kami hadapi kesukaran, kami akan hadapi bersama. Itulah asas untuk bina kejayaan,” katanya lagi.
United bakal memulakan siri jelajah di Amerika Syarikat menentang West Ham, Bournemouth dan Everton, sebelum menutup aksi pramusim dengan perlawanan menentang Fiorentina di Old Trafford pada 9 Ogos.
© New Straits Times Press (M) Bhd




