Amorim sedia letak jawatan tanpa pampasan

Amorim sedia letak jawatan tanpa pampasan

Bilbao: Pengendali Manchester United, Ruben Amorim memberi bayangan sedia meletak jawatan tanpa menuntut sebarang pampasan selepas kekalahan memalukan 0-1 kepada Tottenham Hotspur dalam final Liga Europa awal pagi tadi.

United sekali lagi gagal menyerlah dalam aksi penting apabila jaringan tunggal Brennan Johnson pada babak pertama sudah cukup untuk menamatkan penantian 17 tahun Spurs meraih trofi, dan pada masa sama menyempurnakan musim paling buruk dalam sejarah moden Red Devils.

Kekalahan itu menyebabkan United kini menghuni tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris dan bakal menamatkan kempen dengan kedudukan terendah sejak mereka tersingkir dari liga utama pada 1974, satu statistik yang amat memalukan buat kelab gergasi England itu.

Amorim, yang dilantik menggantikan Erik ten Hag pada November lalu, kelihatan cukup emosional dalam sidang media pasca perlawanan, namun tetap berpegang teguh pada falsafahnya.

“Jika lembaga pengarah dan penyokong rasa saya bukan orang yang sesuai, saya akan pergi esok juga tanpa sebarang perbincangan soal pampasan,” katanya tegas.

“Tapi saya tidak akan letak jawatan. Saya masih percaya dengan cara saya dan saya takkan ubah apa-apa.”

Bekas jurulatih Sporting Lisbon itu hanya mencatat enam kemenangan liga sejak membimbing United, walaupun mengambil alih ketika kelab masih berpeluang merebut tempat ke Liga Juara-Juara.

Kini, mereka 27 mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga kelima.

Amorim menolak untuk bercakap mengenai masa depan kelab atau perancangannya musim depan.

“Sekarang bukan masa untuk bercakap soal itu. Kami perlu hadap kekalahan ini, dan rasa pedihnya. Saya rasa kami pasukan lebih baik malam ini, tapi bila anda tak boleh jaringkan gol, sukar untuk menang,” katanya.

Dengan hanya satu aksi liga menentang Aston Villa berbaki hujung minggu ini, masa depan Amorim semakin samar dan tekanan terhadapnya dijangka terus memuncak di Old Trafford.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top