Amway, Monash meterai perjanjian kaji kesihatan usus

Amway, Monash meterai perjanjian kaji kesihatan usus

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Amway (Malaysia) Holdings Bhd dan Monash University Malaysia menandatangani Perjanjian Penyelidikan Utama (MRA) selama tiga tahun untuk memajukan sains mikrobiom dalam usaha memerangi penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menjadi punca utama kematian di Malaysia.

Pengurus Besar Amway Malaysia dan Brunei, Jason Leng berkata, inisiatif perintis itu menumpukan kajian berkenaan pemakanan yang disasarkan dapat meningkatkan kesihatan usus, membantu mengurangkan risiko penyakit gaya hidup kronik dan NCD seperti obesiti, diabetes, penyakit jantung serta gangguan emosi.

Menurutnya, mikrobiom usus memainkan peranan penting dalam pencernaan, imuniti, metabolisme dan kesejahteraan mental.

“Dianggarkan satu pertiga rakyat Malaysia terkesan dengan NCD, yang menyebabkan hampir 72 peratus daripada semua kematian pramatang, menjadikannya penyebab utama kematian dan ketidakupayaan di negara ini.

“Pada 2021 saja, NCD telah menelan kos sebanyak RM64.2 bilion iaitu 4.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), termasuk RM12.4 bilion dalam kos penjagaan kesihatan awam dan RM51.8 bilion dalam kerugian produktiviti.

“Inisiatif ini juga selaras dengan objektif Dasar Sains, Teknologi & Inovasi Negara (DSTIN) yang bertujuan untuk membangunkan ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang lebih kompetitif dan bertanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.

Turut hadir, Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan Monash University, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Dalam pada itu, Leng berkata MRA itu membolehkan ujian saintifik lanjutan dan penemuan klinikal untuk membimbing pembangunan penyelesaian kesihatan masa hadapan.

“Dengan menggabungkan kepakaran saintifik Monash University dan pelaburan berterusan Amway dalam pemakanan serta inovasi, kami meletakkan asas untuk penyelidikan yang mampu memberi impak positif dengan membangunkan penyelesaian yang disesuaikan dengan mikrobiom usus dan profil kesihatan rakyat Malaysia.

“Di Amway Malaysia, kami sentiasa percaya kepada usaha untuk membantu orang ramai menjalani kehidupan yang lebih baik dan sihat.

“Hari ini, kami berbangga berada di barisan hadapan inovasi kesihatan berasaskan sains, mencerminkan transformasi berasaskan misi untuk menjadi peneraju yang bertanggungjawab dan jenama kesihatan serta kesejahteraan yang dipercayai, komited kepada komuniti,” katanya.

Sementara itu, penyelidik, Dr Chong Chun Wei, berkata kajian itu menggunakan kaedah saintifik ketat bagi memahami kesan nutrien terhadap mikrobiom, integriti usus dan laluan metabolik untuk membangunkan strategi mencegah serta mengurus penyakit gaya hidup.

Sebelum ini, Amway mempunyai rekod kukuh dalam penyelidikan kesihatan di peringkat antarabangsa, termasuk kerjasama dengan Stanford University, California di Amerika Syarikat (AS) melalui inisiatif WELL for Life.

Amway turut bekerjasama dengan National University of Singapore dalam kajian perintis mengenai penuaan sel dan intervensi pemakanan berasaskan bukti.

Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan Monash University, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Pengurus Besar, Amway Malaysia dan Brunei, Jason Leng (kanan) bertukar folder yang mengandungi salinan Perjanjian Penyelidikan Induk yang telah ditandatangani.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top