Amy Mastura buat kemunculan dalam filem Jepun

Amy Mastura buat kemunculan dalam filem Jepun

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Amy Mastura, 54, tidak menyangka klip video kemunculan istimewanya dalam sebuah siri Jepun lama dulu menjadi tular di TikTok selepas dimuat naik sebuah akaun.

Amy atau nama sebenarnya Amy Mastura Suhaimi berkata dia sendiri tidak ingat pembabitannya dalam siri itu.

Namun dia masih ingat pengalaman bekerja dengan produksi Jepun sangat mengagumkan.

“Pengurusan mereka sangat tersusun rapi dan dirancang cukup baik. Mereka siap buat peta KLCC dan orang awam tidak dibenarkan mengambil gambar sesuka hati sewaktu penggambaran.

“Saya saja dibenarkan ambil gambar dengan peminat. Peminat pelakon Jepun yang terbabit pun ambil gambar dengan saya sajalah. Selepas tamat penggambaran, barulah dapat bergambar ramai-ramai.

“Itu sajalah yang saya ingat. Sebab hal-hal lain saya memang tak faham mereka cakap apa,” katanya.

Walaupun kemunculannya cuma sangat pendek, Amy menyifatkan pengalaman itu cukup berharga buatnya.

Dapat terbabit produksi dari Jepun benar-benar memberinya kepuasan berbeza.

“Dapatlah merasa bagaimana bekerja dengan orang Jepun. Ingatkan mungkin boleh buat buat kemunculan lagi. Rupa-rupanya, watak itu tidak menggunakan topeng wajah saya dah.

“Apapun, saya sangat-sangat berbesar hati kerana diberikan peluang itu. Walaupun kecil saja, tapi dapat jugalah merasa,” katanya.

Dalam klip babak tular itu, Amy membawakan watak seorang penjual mainan di sebuah taman riadah.

Bagaimanapun, watak itu sebenarnya seorang lelaki yang sekadar menggunakan topeng wajah Amy.

Klip yang dimuat naik di TikTok Says Seismik berkenaan berjaya meraih lebih 1.2 juta tontonan, lebih 112,400 tanda suka dan lebih 970 komen.

Menerusi ruangan komen, drama itu dikatakan berjudul Kindaichi Case Files Gate of Jail Private School Murders yang pernah ditayangkan di saluran ntv7 sekitar tahun 2013.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top