Amyza Aznan dedah kebimbangan, sukar tidur selepas kehilangan Andre

Amyza Aznan dedah kebimbangan, sukar tidur selepas kehilangan Andre

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Amyza Aznan, 50, mendedahkan dia kini berhadapan masalah sukar tidur pada waktu malam akibat dibelenggu perasaan trauma dan bimbang selepas kehilangan anak tersayang.

Amyza juga ibu kepada tiga cahaya mata lelaki diuji dugaan berat apabila anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Izhar, 20, meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 23 Februari lalu.

Menerusi siaran langsungnya di Instagram (IG) hari ini, Amyza memaklumkan fasa kehilangan anak tersayang yang dilalui kira-kira sebulan lalu sangat meninggalkan kesan mendalam pada diri dan emosi.

“Rasa trauma dan bimbang yang teramat sangat. Semakin hari, dada rasa makin sesak dan setiap malam saya sangat susah nak tidur sebab macam-macam perkara bermain di kepala.

“Melalui fasa kehilangan Andre Mikhail tiba-tiba apabila kesihatannya merosot, kemudian kritikal dan esok sudah tiada membuat perasaan saya menjadi takut,” katanya mengakui sukar tidur.

Amyza bagaimanapun turut memberitahu untuk mengurangkan kerisauan dirasainya itu, dia kini memerlukan teman untuk meluah perasaan.

“Saya perlu meluah dan bercakap tentang benda ini (perasaan risau dan takut) kepada orang lain. Saya kena ada teman (yang sedia mendengar) sebab susah nak gambarkan rasa ini macam mana.

“Perasaan takut itu datang bercampur-baur. Jadi, ketika ini saya memang perlu seseorang dan kawan untuk meluah, selain ahli keluarga. Adakalanya, orang luar pun saya perlukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Amyza juga berkongsi keadaan kesihatan anak keduanya, Adrian Adam Khairil Azhar, 18, yang turut disahkan menghidapi kanser tulang pada Februari lalu.

Katanya, walaupun dia seorang yang

tidak berkongsi sangat mengenai perkembangan kesihatan Adrian namun, buat masa sekarang anaknya itu sudah memulakan rawatan dan memohon doa ramai.

Pada 24 Februari lalu yang juga Ramadan kelima, jenazah Andre Mikhail yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana yang dihadiri lebih 300 orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top