Pelakon Amyza Aznan tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan persiapan Aidilfitri tahun ini yang dilakukan lebih awal daripada biasa demi anak tersayang.
Memetik laporan mStar, menurut Amyza, 50, sepanjang hidup, mereka sekeluarga tidak pernah membuat persiapan baju raya terlalu awal kerana biasanya pembelian dilakukan pada saat-saat akhir.
Arwah anak sempat sarung baju raya

“Sepanjang hayat dia, tak pernah lagi kami beli baju raya awal. Selalunya lagi dua atau tiga hari nak raya baru beli, memang ‘last minute’,” katanya, baru-baru ini.
Bagaimanapun, tahun ini mereka membuat keputusan berbeza apabila memilih untuk menyediakan segala kelengkapan lebih awal susulan keadaan kesihatan Allahyarham Andre Mikhail yang tidak mengizinkan tahun lalu.
“Jadi tahun ini kami lakukan persediaan awal sebab tahun lepas dia tak sihat. Dia cakap dia nak baju Melayu warna kuning. Semua dah siap, warna raya kedua ‘rich brown’ dan raya ketiga hitam. Kami beli seminggu sebelum puasa,” jelasnya.
Amyza turut berkongsi bahawa arwah sempat mengenakan baju Melayu berwarna kuning seperti yang diimpikannya, namun tidak berpeluang mencuba pakaian lain kerana keadaannya yang semakin lemah.
Kini, baju-baju raya tersebut masih disimpan rapi dan Amyza mengakui dirinya masih belum bersedia untuk melihatnya semula.

“Arwah sempat sarung ke badan dia baju warna kuning. Yang lain-lain tak sempatlah sebab dia dah tak larat. Tapi dia tengok adik-adik dia yang lain pakai.
“Sekarang baju raya itu tak tahu nak buat macam mana. Nak keluarkan dari beg pun tak sanggup. Tak tahu nak pakai ke tidak, masih tak tahu,” luahnya.
Menurutnya lagi, kehilangan anak tersayang memberi kesan mendalam buat dirinya sebagai seorang ibu.

“Sudah tentulah rasa sedih. Kita anak kena gigit nyamuk pun cari satu rumah, jaga anak itu.
“Saya tak pernah jauh dengan anak. Ini tiba-tiba jauh yang tak jumpa,” tambahnya lagi.
Artikel lanjut: Amyza Aznan syukur terima bantuan, Alha Alfa sekali lagi anjur jualan kumpul dana rawatan anak
Untuk rekod, Andre, 20, meninggal dunia pada 23 Februari lalu di Hospital Kuala Lumpur selepas setahun berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga.
Sumber: mStar (Maszuhaira Sarimin)




