Anak ADUN pembangkang di Pahang ditahan kes rogol remaja

Anak ADUN pembangkang di Pahang ditahan kes rogol remaja

am@hmetro.com.my

Maran: Seorang remaja lelaki disyaki anak pemimpin parti pembangkang di Pahang ditahan polis bagi membantu siasatan kes rogol seorang gadis bawah umur.

Ketua Polis Daerah Maran Superintendan Wong Kim Wai berkata, suspek berusia 17 tahun ditahan di sini, semalam, sejurus ibu gadis terbabit membuat laporan.

Menurutnya, berdasarkan laporan mangsa berusia 16 tahun mendakwa dirogol di sebuah rumah di daerah ini, awal Mac lalu.

“Kejadian dikatakan berlaku selepas gadis terbabit baharu mengenali suspek ketika bersiar-siar di Bandar Maran.

“Suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah rumah dan merogol gadis terbabit.

“Mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibunya semalam dan terus membuat laporan polis,” katanya menerusi kenyataan.

Wong berkata, susulan laporan itu polis menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, suspek sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibebaskan hari ini, selepas polis selesai mengambil keterangan remaja terbabit.

“Tiada keperluan untuk polis mendapat perintah tahanan reman kerana siasatan terhadap suspek sudah selesai.

“Keterangan dan sampel darah sudah diambil serta pengakuan jelas suspek,” Katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun serta disebat.

Sebelum ini tular di media sosial mendakwa seorang gadis bawah dirogol anak seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top