Anak bekas ADUN ditemukan tinggal rangka di rumah usang

Anak bekas ADUN ditemukan tinggal rangka di rumah usang

am@hmetro.com.my

Teluk Intan: Rangka dan tengkorak manusia ditemukan di tingkat atas sebuah rumah kayu dua tingkat di Jalan Sungai Nibong di sini, Sabtu lalu.

Mayat berkenaan dipercayai anak bongsu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Wah Keng Jooi, yang berkhidmat dari 1959 hingga 1964.

Penemuan mengejutkan itu dibuat selepas abang mangsa yang berusia 78 tahun pergi ke rumah itu pada jam 11 pagi untuk menziarahi adiknya yang berusia 75 tahun sebelum terhidu bau busuk dan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, abang mangsa membuat laporan polis pada jam 2.24 petang hari yang sama selepas tidak dapat naik ke tingkat atas kerana keadaan tangga kayu yang sudah reput.

“Sepasukan polis dari daerah ini dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyealmat pergi ke lokasi dan menjalankan pemeriksaan.

“Siasatan awal menemui satu tengkorak dan rangka manusia di samping anjing peliharaan mangsa serta beberapa barangan peribadinya di tingkat atas rumah itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa tinggal seorang diri di rumah pusaka peninggalan keluarganya.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat,” katanya sambil menambah kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top