Sydney: Polis Australia mendakwa anak bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, Hannah Thomas, atas pertuduhan menghalang atau melawan arahan polis ketika menyertai protes pro-Palestin di luar sebuah kemudahan pembuatan yang didakwa membekalkan teknologi kepada tentera Israel.
ABC News melaporkan Hannah diberikan notis tuntutan hadir ke mahkamah atas dakwaan menghalang atau melawan arahan anggota polis serta enggan mematuhi arahan untuk bersurai.
Beliau dijadualkan hadir di Mahkamah Tempatan Bankstown pada 12 Ogos ini.
Ketika ini, Hannah sedang menerima rawatan di hospital akibat kecederaan serius di bahagian muka.
Peguamnya, Peter O Brien, berkata insiden itu berkemungkinan menyebabkan kehilangan penglihatan pada sebelah matanya.
Sebelum ini, Hannah pernah bertanding di kerusi Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, di kawasan Grayndler sebagai calon Parti Greens dalam pilihan raya persekutuan.
Ahli Parlimen Parti Greens di peringkat Persekutuan dan New South Wales (NSW) kini mendesak agar siasatan penuh dijalankan terhadap insiden berkenaan, termasuk Ahli Parlimen NSW, Sue Higginson, yang menggesa agar ia diisytihar sebagai ‘insiden kritikal’.
‘Insiden kritikal’ merujuk kepada kejadian yang memerlukan siasatan rasmi sekiranya membabitkan anggota polis NSW dan mengakibatkan kematian atau kecederaan serius kepada mana-mana individu.
Namun begitu, Polis NSW memaklumkan siasatan rasmi sebagai ‘insiden kritikal’ belum dijalankan, dan sekiranya ia diisytihar, keputusan berkenaan terletak pada Komander Wilayah.
“Insiden itu masih dalam siasatan dan polis masih meneruskan usaha mendapatkan maklumat lanjut,” kata Polis NSW hari ini.
Laporan The Guardian sebelum ini menyebut penunjuk perasaan bertindak menghalang laluan pejalan kaki serta mendakwa syarikat terbabit menyediakan perkhidmatan penyaduran elektrik dan salutan permukaan bagi pelbagai aplikasi, termasuk teknologi aeroangkasa dan pertahanan yang digunakan oleh Israel.
Laporan itu turut menyatakan bahawa Polis NSW mengeluarkan arahan untuk bersurai kerana protes itu dianggap ‘tidak dibenarkan’, berikutan tiada notis awal serta kegagalan menyerahkan borang pengecualian seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang anti-protes.
Difahamkan, Hannah didakwa enggan mematuhi arahan itu dan seterusnya ditahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd