saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Proses penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri bergantung kepada kenampakan anak bulan pada waktu Maghrib, 29 Ramadan.
Ia juga perlu mengikut kriteria yang sudah ditetapkan menerusi Imkanur-Rukyah.
Difahamkan, 29 lokasi di seluruh negara akan melaksanakan cerapan anak bulan pada Khamis depan untuk menentukan tarikh 1 Syawal.
Ahli Jawatankuasa Rukyah dan Falak Wilayah Persekutuan, Shahrin Ahmad berkata, penggunaan kriteria Imkanur-Rukyah ini sudah dipersetujui untuk digunakan oleh Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura.
“Setiap negara berbeza penentuan serta kriteria kenampakan anak bulan mereka dan kita tidak boleh menyamakan bahawa setiap negara itu mempunyai kaedah yang sama.
“Perkara yang ditularkan itu menyatakan berkaitan Pusat Astronomi Antarabangsa, pusat itu bukanlah agensi sedunia sebaliknya ia adalah agensi di bawah Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Pengumuman yang dibuat oleh pusat astronomi antarabangsa itu adalah berdasarkan kedudukan anak bulan di negara berkenaan.
“Setiap penentuan tarikh 1 Syawal itu perlu dibuat di negara berkaitan kerana kedudukan anak bulan sesebuah negara adalah tidak sama,” katanya kepada Metro.
Shahrin berkata, negara yang terletak di kedudukan ke barat dari negara ini adalah lebih cerah peluang untuk melihat anak bulan kerana itulah sifat pergerakan bulan.
“Contoh, waktu Maghrib di Malaysia tidak sama dengan UAE kerana kita berbeza empat jam dengan mereka, maka sudah pastinya kedudukan bulan juga berlainan.
“Negara yang terletak ke barat daripada Malaysia seperti India, Arab Saudi, Eropah dan sebagainya mempunyai peluang yang tinggi untuk melihat anak bulan.
“Saya nasihati orang awam supaya tidaklah terlalu gusar dengan tarikh penentuan 1 Syawal ini kerana kita mempunyai prosedur serta kriteria yang sudah ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, terdapat 29 lokasi cerapan untuk penentuan 1 Syawal dan semua data berkenaan akan dikumpulkan serta dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk persetujuan.
Katanya, keputusan rasmi hanya akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas semua persetujuan diperoleh.
“Tidak perlulah kita bimbang bila hari raya, apa yang penting adalah kita tunggu pengumuman yang rasmi dan kaedah ini sudah digunakan sejak sekian lama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




