Anak datang stadium sangka Nidzam bakal dipecat

Anak datang stadium sangka Nidzam bakal dipecat

Petaling Jaya: Kejayaan Selangor FC mara ke final Piala FA 2024/2025 dengan menyingkirkan Terengganu FC (TFC) menerusi agregat 6-4, dapat mengukuhkan semula keyakinan peminat Gergasi Merah terhadap pengendali skuad itu, Mohd Nidzam Jamil.

Ini kerana kemampuan pengendali berusia 44 tahun itu yang lebih mesra disapa Nidzam mula dipersoalkan peminat, malah timbul persepsi beliau bukan jurulatih tepat untuk membimbing Selangor susulan beberapa keputusan yang dicatat pasukan baru-baru ini.

Nidzam berkata media sosialnya juga diserang dalam tempoh dua hingga tiga minggu kebelakangan ini, selain anaknya turut dimaklumkan oleh kawan-kawan di sekolah bahawa beliau akan dipecat.

“Hari ini (malam tadi) sebagai jurulatih tempatan saya cuma nak beri yang terbaik untuk pasukan kesayangan semua, dengan pengetahuan dan latar belakang saya sudah tentu saya nak pasukan ini ke final. Sudah tentu (akan ada) persepsi, saya rasa dalam dua-tiga minggu saya tak boleh kawal.

“Anak saya jarang datang stadium tapi datang malam ini sebab dia kata kawan-kawan di sekolah kata ayah kamu akan dibuang, tapi ini persepsi, sudah tentu saya tak hirau sangat sebab saya rasa tanggungjawab saya untuk bawa pasukan ke tempat lebih baik,” katanya pada sidang media selepas aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, semalam.

Pada pertembungan itu, Selangor menang 4-1 menerusi hatrik Ketua Pasukan Muhammad Safuwan Baharudin dan jaringan penyerang gantian Reziq Mohammed Saleh Banihani, sementara gol sagu hati Terengganu dijaringkan penyerang import dari Nigeria Ismaheel Akinade.

Selangor, juara Piala FA lima kali, bakal membuat perhitungan dengan pemenang satu lagi aksi separuh akhir malam ini, antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada final yang dijadualkan berlangsung 24 Ogos, di Stadium Nasional, Bukit Jalil..

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top