surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya di sebuah pangsapuri, minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Iznan Syahir Mohammad Tasnim, 25, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S Arunjothy.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Mohammad Tasnim Nurdin, 62, di sebuah unit pangsapuri di Bandar Seri Permaisuri, Cheras di sini pada jam 3.01 pagi pada 13 September lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nadia Eleena kemudian memohon satu tarikh lain untuk laporan bedah siasat.
Arunjothy menetapkan 11 Disember ini bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang lelaki warga emas maut ditikam anak kandungnya dipercayai tidak puas hati berkaitan isu harta di sebuah pangsapuri di Cheras.
© New Straits Times Press (M) Bhd




