Anak harap Zamri dapat pulih semula

Anak harap Zamri dapat pulih semula

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Cuma nak ayah sihat semula…Insya-Allah boleh (kembali sihat).”

Demikian ungkapan pertama Muhammad Farish, anak kedua bekas pelumba negara, Muhamad Zamri Baba, yang tidak pernah berputus asa berdoa mengharapkan bapanya itu dapat pulih seperti sediakala selepas terbabit dengan kemalangan di atas litar sembilan tahun lalu.

Bagi Farish, tiada apa yang lebih menggembirakan dirinya selain dapat melihat bapanya itu kembali pulih sepenuhnya meskipun ia dilihat agak sukar.

Baru berusia dua tahun ketika bapanya terbabit kemalangan pada perlumbaan pusingan dua Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Sentul, Indonesia, Jun 2015, Farish bagaimanapun masih mengingati detik-detik manis ketika Zamri masih sempurna seperti orang lain.

“Ayah selalu dukung saya dan bawa jalan-jalan sekitar litar,” katanya menceritakan antara kenangan tidak dapat dilupakan semasa Zamri masih sihat.

Pernah mempunyai impian untuk mengikut jejak langkah bapanya apabila terbabit dengan sukan permotoran, Farish terpaksa melupakan impian itu bagi memenuhi permintaan ibunya, Fazlina Ahmad Fauzy.

“Sebab nanti (ibu) takut jadi macam ayah. Sekarang saya hanya fokus kepada bermain bola sepak dan nak jadi pemain bola sepak berjaya,” katanya yang kini berada di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Farish berkata, dia menjadikan sensasi Selangor, Faisal Halim sebagai idolanya kerana melihat bintang Harimau Malaya itu mempunyai kemahiran yang tinggi ketika beraksi di atas padang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top