Pelakon Ainina Ahmad B mengakui dia individu yang meminta namanya dikeluarkan daripada penerima Lembaga Zakat Selangor selepas pemergian anak istimewanya, Nur Ara Elisya pada bulan lalu.
Memetik mStar Online, Ainina berkata sebelum ini dia menerima bantuan zakat tidak sampai setahun untuk kegunaan arwah anaknya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Selepas anak meninggal dunia, saya rasa serba salah untuk terus terima bayaran bantuan bulanan daripada LZS. Ketika arwah ada saya memang tak bekerja kerana fokus menjaganya.
“Sebenarnya saya terima bantuan bulanan daripada LZS tak lama pun kurang setahun saja. Saya terima pun sebab fikir anak saya istimewa. Ada keperluan yang perlu dijaga. Tapi kalau untuk perbelanjaan makan saya tak guna wang bantuan tu.
“Bila anak saya dah tiada saya tarik diri. Bantuan ini buat saya rasa bersalah kalau terus ambil,” katanya.
Sementara itu, Ainina berkata baginya ada mereka yang lebih memerlukan untuk mendapatkan bantuan tersebut kerana dia kini boleh bekerja untuk mencari pendapatan.
“Kenapa saya nak kena ambil wang itu sedangkan ramai lagi yang memerlukan. Tambahan itu duit zakat, kalau saya ambil dulu memang untuk anak saya.
“InsyaAllah kalau ada tawaran saya boleh berlakon lagi dan berniaga. Bila anak kita sudah meninggal dunia, saya rasa cukuplah. Kita pun boleh bekerja,” katanya.
Dalam pada itu, Ainina turut mengucapkan teirma kasih kepada LZS kerana turut membantu membiayai kos rawatan pembedahan tulang belakang anaknya pada Disember tahun lalu.
Sumber: mStar Online