redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kangar: “Anak sebab saya teruskan hidup dan harap diizinkan hidup sampai mereka dapat uruskan diri.”
Itu kata Wan Muzafar Wan Kamis, 56, ketika berkongsi kisah dua anaknya, Wan Muhammad Adam Harraz, 19, atau Adam dan Wan Muhammad Mikhail Rayyan, 16, atau Mikhail yang kedua-duanya didiagnos dengan Hemoglobin E (HbE) Beta Talasemia iaitu penyakit genetik diwarisi daripada ibu bapa.
Bukan setakat itu, Adam juga menghidap benign tumor atau tumor jinak dalam otak yang menjadi faktornya berstatus orang kurang upaya (OKU) pelbagai.
Meskipun begitu, Adam dan Mikhail tidak menjadikan penyakitnya sebagai halangan menerusi jualan serbuk kopi herba diberi nama ‘Kopi Bahagia’ secara dalam talian.
Bercerita lanjut, Wan Muzafar yang menetap di Jalan Hospital dekat sini berkata, dia dikurniakan empat cahaya mata hasil perkahwinan dengan isteri tercinta, Rosnah Samad.
Bagaimanapun, Rosnah – bekas akauntan – meninggal dunia akibat barah hati pada Februari 2018, 16 hari selepas pemergian anak sulungnya, Muhammad Danial Syadza kerana kegagalan jantung diikuti zuriat bongsu, Muhammad Damian Hakim yang dijemput Ilahi tiga tahun lalu disebabkan asma.
Sejak itu, Wan Muzafar yang juga bekas pengurus bank membesarkan sendiri Adam dan Mikhail yang terbantut tumbesarannya serta masih mendapatkan rawatan di hospital.
“Isteri ada HBe dan saya pula pembawa talasemia namun tak tahu saya pembawa sehingga menjalani pemeriksaan kesihatan lanjut di hospital.
“Adam didiagnos ketika berusia sembilan tahun manakala Mikhail waktu umurnya enam tahun dan penyakit itu hasil kombinasi genetik kami berdua. Disebabkan itu, fizikal nampak seperti kanak-kanak kerana ia antara salah satu simptomnya.
“Adam bersekolah sampai Tahun Satu saja sebelum home schooling (belajar di rumah) manakala Mikhail (bersekolah) sampai Tahun Enam saja sebelum ikut jejak langkah abangnya (belajar di rumah),” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Wan Muzafar, kesihatan Mikhail lebih baik namun Adam ada kelebihan daripada segi pengurusan perniagaan serta boleh membuat keputusan dengan baik.
Lantaran itu, Wan Muzafar menganggap kedua-dua anaknya ada kebijaksanaan dan keistimewaan tersendiri.
“Bagi saya, semua anak cerdik cuma lebih beri penekanan dalam pelajaran kepada Mikhail kerana lihat kemampuannya yang nampak cenderung dalam Matematik juga Sains.
“Diharap Mikahil belajar sampai peringkat tinggi, sekurang-kurangnya hingga memiliki Ijazah Sarjana Muda kerana kalau saya tiada nanti, dia ada kelulusan untuk dimanfaatkan dan boleh bantu abangnya (Adam).
“Saya nak anak ada pendidikan tinggi kerana saya tak nak mereka dimanipulasi dan Adam pun bijak kerana berniaga adalah cetusan ideanya,” katanya
Menurut Wan Muzafar, perniagaan dan syarikat diusahakan milik Adam sepenuhnya.
Katanya, Adam menjalankan perniagaan itu dengan bermodalkan wang tabung haji dan banyak belajar dengan ibunya yang mengusahakan syarikat kecantikan termasuk herba dan kimia ketika hayatnya.
Sebagai bapa, Wan Muzafar akan terus menyokong apa yang terbaik buat dua anaknya.
“Adam dan Mikhail berfikir pada aras tinggi dan sedang berbincang produk baru untuk dipasarkan.
“Bagi saya ini penting sebab perancangan mereka teliti daripada segi bekalan dan logistik hingga tidak memerlukan saya langsung.
“Misi utama Adam adalah menyempurnakan amanat akhir ibunya untuk ke Makkah dan menunaikan haji sendiri bagi pihak ibunya tanpa mengupah sesiapa.
“Dalam urusan perniagaan tiada masalah kerana saya tolong selain dapat bantuan seorang kakitangan syarikat kurier untuk penghantaran pesanan pelanggan,” katanya yang membantu mempromosikan jualan menerusi siaran langsung di akaun TikTok anaknya @wan.adam.harraz.
© New Straits Times Press (M) Bhd




