am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Anak jerung paus ditemukan mati di Pantai Tanjung Aru, di sini, dipercayai ikan sama yang dikesan memasuki kawasan perairan cetek di sini, beberapa hari lalu.
Foto bangkai jerung paus itu yang ditemukan di tepi pantai turut tular di media sosial.
Pegawai Marine Research Foundation (MRF), Liyana Izwin Khalid, berkata pihaknya percaya ia jerung paus sama yang dilihat beberapa hari lalu di kawasan resort termasuk Shangri-La Tanjung Aru Resort (STAR) dan Sutera Harbour Resort.
“Ia kali terakhir dilihat di STAR oleh kakitangan di sana dan mereka berjaya menolaknya kembali ke laut.
“Malangnya, jerung paus itu tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika dihubungi.
Liyana berkata, pihak STAR telah dihubungi dan memaklumkan perkembangan itu kepada MRF.
Bagaimanapun, disebabkan tidak dapat memeriksa haiwan itu secara langsung, mereka tidak dapat menentukan keadaan jerung paus itu sebelum ia mati.
“Ia mungkin mengalami kekeliruan arah kerana dilihat berada di perairan cetek, baik di Sutera mahupun STAR.
“Kami tidak dapat memastikan apa sebenarnya yang berlaku,” tambahnya.
Penampakan jerung paus di perairan Kota Kinabalu khususnya di sekitar pulau Pulau Gaya, Pulau Sapi dan Pulau Manukan, lazimnya bersifat bermusim dan dipengaruhi oleh ketersediaan kril serta plankton.
Tempoh kemuncak kebiasaannya antara Februari hingga April, dengan kekerapan tertinggi sering direkodkan pada awal Mac.
© New Straits Times Press (M) Bhd




