Anak kucing mati diracun dan dicampak dari tempat tinggi, kes dirujuk kepada PPV

Anak kucing mati diracun dan dicampak dari tempat tinggi, kes dirujuk kepada PPV

rnoraina@hmetro.com.my

Ampang: Dua anak kucing didakwa dicampak dari tempat tinggi oleh kanak-kanak lelaki di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Ampang, di sini.

Kejadian itu tular selepas beberapa gambar bangkai kucing dan kanak-kanak terbabit serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dimuat naik di media sosial.

Berdasarkan hantaran, dua anak kucing milik seorang penghuni tingkat lima pangsapuri berkenaan yang diletakkan dalam sangkar hadapan rumahnya dilarikan oleh kanak-kanak terbabit.

Haiwan peliharaan itu kemudian ditemui mati dengan kesan darah di tingkat empat bangunan sama.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail mengesahkan menerima maklumat mengenai kejadian beberapa kucing mati.

Beliau berkata, sebanyak empat laporan polis diterima berhubung kejadian.

“Semakan mendapati tiada laporan (baharu) diterima pada bulan ini. Laporan yang dibuat pada Julai lalu.

“Selepas laporan diterima, pihak polis sudah melawat ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun tiada kertas siasatan dibuka memandangkan kes dirujuk kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Hulu Langat untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top