am@hmetro.com.my
Tanjong Karang: “Baru bulan lepas saya melatihnya menunggang basikal, dia seronok serta teruja.
“Tak sangka Awa (nama panggilan anak) akan lemas di parit selepas terjatuh basikal, namun saya bersyukur jenazah anak ditemukan,” kata Siti Zulaiha Nasiran, 30.
Siti Zulaiha adalah ibu kepada Hawanis Qalissha Haslam, 6, yang lemas selepas terjatuh ke parit ketika bermain basikal di Kampung Sungai Kajang Lama, di sini, semalam.
Suri rumah itu mengakui masih terkejut tidak menyangka kehilangan satu-satunya anak perempuan buat selama-lamanya.
“Arwah amat rapat dengan saya. Tetapi Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Satu, Kampung Sungai Kajang Lama, di sini, hari ini.
Anak bongsu daripada dua beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah Tanjong Karang, kira-kira 10 pagi tadi.
Dalam pada itu, bapa Hawanis Qalissha, Haslam Mohd Darus, 39, berkata, kejadian berlaku 4.30 petang semalam ketika dia membersihkan laman rumah.
“Sebelum kejadian, arwah mengajak saya berjalan-jalan. Dia tunggang basikal manakala saya tunggang motosikal.
“Kemudian saya perasan dia tiada dan jangkaan saya mungkin ke rumah neneknya yang berhampiran,” katanya.
Menurut Haslam, tidak lama selepas itu, dia ternampak basikal anaknya dan mulai berasa tidak sedap hati.
“Pada masa sama adik lelaki saya melalui kawasan rumah. Saya meminta bantuannya dan dia masuk ke dalam parit lalu menemukan arwah.
“Kami melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan segera membawanya ke Hospital Tanjong Karang,” katanya.
Haslam berkata, dia berharap ada keajaiban untuk Hawanis Qalissha sedar namun reda dengan takdir Allah SWT.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 9.01 malam.
Katanya, mangsa ditemukan lemas dalam parit sedalam kira-kira dua hingga tiga meter.
“Punca kematian mangsa disebabkan lemas. Tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh badannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




