Anak Malaysia tawan pentas piano klasik dunia, kembali curah ilmu di tanah air

Anak Malaysia tawan pentas piano klasik dunia, kembali curah ilmu di tanah air

Kuala Lumpur: Selepas mencipta nama di pentas muzik klasik dunia, pemain piano Malaysia bertaraf antarabangsa, Vincent Ong, 25, kini kembali ke tanah air untuk mencurahkan ilmu dan pengalaman kepada bakat tempatan menerusi siri masterclass serta persembahan khas dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Program ‘Vincent Ong: A Homecoming’ anjuran TalentCorp di bawah inisiatif MyHeart memberi tumpuan kepada perkongsian kepakaran dan pengalaman antarabangsa Ong termasuk memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang seni persembahan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Edward Ling, berkata kerjasama itu mencerminkan pendekatan TalentCorp dalam menghubungkan bakat Malaysia di luar negara dengan pembangunan bakat tempatan melalui konsep pengaliran bakat atau ‘brain circulation’.

Anak Malaysia tawan pentas piano klasik dunia, kembali curah ilmu di tanah air
Edward Ling ketika berucap di Recital Vincent Ong: A Homecoming.

Beliau berkata, konsep itu merujuk kepada rakyat Malaysia yang menimba pengalaman dan membina kerjaya di luar negara, kemudian kembali berkongsi ilmu, kepakaran serta rangkaian mereka untuk manfaat negara.

Katanya, melalui platform MyHeart, TalentCorp menyediakan ruang untuk diaspora Malaysia terus berhubung dengan negara dan menyumbang dalam pelbagai bentuk termasuk pendidikan, perkongsian kepakaran, pelaburan serta kerjasama industri.

“Melalui platform MyHeart, kita mahu mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat Malaysia di luar negara kembali menyumbang, termasuk dalam bidang seni, industri kreatif dan sukan.

“Kerjasama bersama Ong ini adalah contoh bagaimana pengalaman dan pendedahan antarabangsa boleh dikongsi secara terus dengan bakat tempatan melalui masterclass, persembahan dan sesi perkongsian,” katanya pada sidang media program ‘Vincent Ong: A Homecoming’ di Petaling Jaya dekat sini.

Sehingga kini, platform MyHeart menghubungkan rakyat Malaysia di luar negara di lebih 130 negara dengan lebih 26,000 ahli, sekali gus membentuk rangkaian global bakat Malaysia yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Peluang tingkat kemahiran

Sementara itu, Ong, yang melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama mara ke peringkat akhir serta menamatkan saingan di tempat kelima dalam edisi ke-19 Pertandingan Piano Antarabangsa Fryderyk Chopin di Warsaw pada 2025, berkata kepulangannya ke tanah air dari 20 hingga 28 Mac ini memberinya peluang bermakna untuk berkongsi pengalaman dan membantu membangunkan bakat muda Malaysia, khususnya dalam bidang muzik klasik.

Pertandingan berprestij yang berlangsung setiap lima tahun di Warsaw, Poland itu merupakan antara pertandingan piano tertua dan paling berprestij di dunia sejak diperkenalkan pada 1927, malah sering dianggap sebagai ‘Piala Dunia’ bagi dunia piano klasik. Edisi seterusnya dijangka diadakan pada 2030.

Katanya, selain persembahan, beliau turut mengendalikan kelas bimbingan intensif (masterclass) yang memberi pendedahan kepada pemuzik muda mengenai standard dan tahap persembahan di peringkat antarabangsa.

“Saya harap melalui masterclass dan persembahan ini, bakat muda Malaysia dapat melihat sendiri tahap yang diperlukan di peringkat antarabangsa dan menjadikannya sebagai motivasi untuk terus meningkatkan kemahiran mereka,” katanya.

Ong yang juga pemenang Hadiah Pertama Pertandingan Antarabangsa Robert Schumann Ke-19 di Jerman berkata, perjalanan sebagai pemuzik profesional memerlukan disiplin dan latihan konsisten sejak usia muda, selain pengorbanan masa serta sokongan keluarga dalam membina kerjaya dalam bidang muzik klasik.

Beliau berkata, sejak kecil beliau perlu membahagikan masa antara persekolahan dan latihan piano setiap hari, selain perlu menghadiri kelas muzik serta menyertai pelbagai pertandingan bagi meningkatkan kemahiran.

“Pengalaman belajar dan beraksi di luar negara membuka perspektif baharu terutama dari segi tahap persaingan, tradisi muzik klasik serta komuniti pemuzik yang mendorong antara satu sama lain untuk mencapai tahap tertinggi,” kata anak jati Pulau Pinang itu.

Timba ilmu secara langsung

Program itu merangkumi siri persembahan solo serta masterclass di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, termasuk memberi peluang kepada pemuzik muda tempatan menimba ilmu secara langsung daripada pemuzik bertaraf dunia mempelajari teknik persembahan, interpretasi muzik serta disiplin latihan yang diperlukan untuk mencapai tahap antarabangsa dengan lebih 2,200 peserta dijangka hadir.

Ling berkata, TalentCorp percaya perkongsian pengalaman rakyat Malaysia yang berjaya di luar negara mampu memberi inspirasi kepada generasi muda untuk berani mencabar diri dan meneroka peluang di peringkat global.

Katanya, TalentCorp mahu memastikan bakat Malaysia di luar negara kekal berhubung dengan tanah air supaya kepakaran dan pengalaman itu dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

“Inilah konsep brain circulation yang kita mahu tekankan, iaitu apabila rakyat Malaysia pergi ke luar negara, menimba pengalaman dan kepakaran, kemudian kembali berkongsi dan menyumbang semula kepada negara,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu juga selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai bakat bertaraf dunia dalam pelbagai bidang termasuk seni, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Melalui inisiatif seperti MyHeart dan kerjasama bersama rakyat Malaysia berprestasi tinggi di luar negara, TalentCorp berharap lebih banyak program seumpama itu dapat dilaksanakan pada masa hadapan bagi memperkukuh ekosistem bakat negara secara
menyeluruh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top