am@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Saya sedih kerana Angah tidak dapat menerima sendiri sijil ijazah di atas pentas sebagaimana yang diimpikan selama ini disebabkan dia kini terlantar separuh koma akibat serangan radang otak sejak lebih dua tahun lalu,” kata Azizon Ab Hamid, 48.
Azizon berkata, pada 29 April lalu, dia menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada pihak pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang memaklumkan untuknya mewakili anaknya, Azreen Afiza Azahari, 25, menerima sijil Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran sempena Istiadat Konvokesyen UTM ke-101, Khamis ini.
Katanya, hatinya sebak apabila memikirkan keadaan Azreen Afiza atau lebih mesra disapa Angah kerana menjadi impiannya untuk memegang skrol ijazah selepas berhempas pulas belajar, namun ditakdirkan dia terlantar di saat rakan-rakan yang lain meraikan kejayaan.
“Pada mulanya, saya mahu membawa Angah menghadiri majlis konvokesyen ini, namun buntu disebabkan kekangan kewangan yang memerlukan kami sekeluarga mencari kenderaan yang sesuai berikutan keadaan Angah yang sukar bergerak.
“Bagaimanapun, pada Khamis ini, saya yang ditemani anak sulung, Azreen Afifah, 28, akan menghadiri majlis konvokesyen berkenaan dan saya
mewakili Angah untuk naik ke atas pentas menerima ijazah yang selama ini memang menjadi impiannya,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di rumahnya di Desa An Nur, Panji, di sini.
Bercerita lanjut berkenaan kesihatan Azreen Afiza, ibu kepada lima anak ini berkata, pada tahun lalu, anaknya itu terpaksa menjalani pembedahan dan menukar tiub susu dari hidung ke perut selepas terkena jangkitan kuman di paru-paru.
“Bagaimanapun, keadaan kesihatan Angah kini menunjukkan perkembangan positif termasuk berat badannya semakin meningkat berbanding sebelum ini selain boleh membuka mata.
“Bagi mengetahui tahap kesihatan Angah, dia perlu menghadiri janji temu setiap enam bulan sekali di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk berjumpa pakar,” katanya.
Menurut Azizon, dia sedikit pun tidak rasa terbeban untuk menjaga Angah dan reda dengan takdir Ilahi, tetapi sebagai ibu pastinya dia sentiasa mendoakan anaknya itu dapat sembuh seperti sedia kala walaupun ia mustahil.
Katanya, pada awalnya, anaknya dikesan mengalami kemurungan di samping tidak dapat tidur dan hilang selera makan oleh keluarga.
“Bimbang dengan keadaan itu, saya membawanya berjumpa pakar psikiatri di HRPZ II dan diberikan ubat penenang.
“Namun keadaannya semakin teruk menyebabkan Angah hanya terlantar dan dalam keadaan separuh koma serta memerlukan penjagaan rapi apabila disahkan mengalami radang otak.
“Malah melalui ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang dilakukan di kedua-dua belah otak, terdapat jangkitan kuman menyerang bahagian otak dan menyebabkannya Angah separuh koma hingga sekarang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




