am@hmetro.com.my
Kepala Batas: “Kita (cerita ini) bukan pasal (mengenai) anak mati (meninggal dunia), anak mati (itu) kita reda tapi yang kita tak puas hati, pasaipa (mengapa) hangpa (mereka) tinggal dia” luah Rohani Saad, ibu kepada Allahyarham Mustaqqeem Mansor yang meninggal dunia akibat kesejukan melampau sebelum mayatnya ditemui di Gunung Liang, Perak, kelmarin.
Rohani, 64, berkata, dia terkilan dengan tindakan rakan-rakannya meninggalkan Mustaqqeem seorang diri yang sedang mengalami kesakitan pada kaki hingga anak sulungnya itu pergi buat selama-lamanya.
Lebih memeritkan, katanya, pelbagai versi alasan diberikan berhubung kehilangan anaknya itu yang mana ia tidak dapat diterima sama sekali.
“Pada mulanya, mereka bagitau (beritahu) kaki (Mustaqqeem) ‘cramp’ (kejang), tapi takpa dia ada dengan ‘guide’ (malim gunung). Kita (ahli keluarga) tak tau (apa yang berlaku), depa (mereka) macam- macam cerita (keluar).
“Ada yang katanya enam jam cari (Mustaqqeem) tak jumpa, tapi bila polis dan bomba naik (kira-kira) tiga jam, polis dan bomba jumpa pun. Jadi, kenapa kata hangpa (mereka) cari enam jam tak jumpa.
“Dia (Mustaqqeem) ada atas tu puncak tak pi mana, itu saja. Lepas tu tak buat laporan polis pula apabila yang buat bini (isteri Mustaqqeem) selepas dapati suaminya tak pulang,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di Tanah Perkuburan Islam Lahar Tabut, Penaga, di sini, hari ini.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Mustaqqeem selamat dikebumikan di tanah perkuburan bersebelahan pusara datuk dan neneknya selepas solat Subuh.
Allahyarham yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu bekerja sebagai eksekutif teknologi maklumat dan meninggalkan seorang isteri, Nur Faratin Mohd Othman, 31.
Rohani berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anak sulungnya itu sehari sebelum Mustaqqeem pergi menyertai aktiviti pendakian berkenaan.
“Selepas itu dalam jam 10 malam dia (Allahyarham) bagi salam kata ‘qeem’ nak pi (pergi dah) balik ke rumahnya, lepas tu dia tengok telefon saya.
“Sebelum dia pergi, saya bagitau dekat dia telefon rosak dan dia bagitau nanti dia balik dia tengok tapi lain yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, adik kepada Allahyarham, Muzammeer, 33, berkata, dia berharap polis dapat menjalankan siasatan terhadap kejadian menimpa abangnya.
“Mengenai tindakan lanjut (perundangan) kami sekeluarga akan berbincang terlebih dulu,” katanya.
Menurutnya, abangnya itu mula aktif dengan aktiviti pendakian tahun ini dan bercadang mendaki di Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal, hujung tahun ini.
Terdahulu, Allahyarham dilaporkan melakukan aktiviti pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser di Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang, Tanjung Mali, Perak, Isnin lalu.
Bagaimanapun, lelaki itu ditemukan sudah meninggal dunia di puncak gunung, jam 3.30 petang kelmarin, dengan sedikit kesan pendarahan pada hidung.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian Allahyarham adalah disebabkan hiportermia atau kesejukan melampau.
© New Straits Times Press (M) Bhd




