am@hmetro.com.my
Johor Bahru: “Muhamad Nazran Eijaz Rizqi menanggung sakit yang teramat sangat. Dia menangis sampai hilang suara selepas badannya melecur kira-kira 55 peratus,” kata Siti Zaleha Abdullah, 31.
Siti Zaleha berkata, anak keduanya yang berusia lima tahun itu cedera selepas tin cat di timbunan sampah-sarap yang dibakar di pusat mencuci kereta suaminya di Endau, Mersing meletup pada 9 September lalu.
Menurutnya, dia dan suami hanya menyedari kejadian menimpa Muhamad Nazran selepas terdengar bunyi kuat.
Katanya, anaknya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Endau sebelum ke Hospital Mersing dan seterusnya dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Saya biasanya membantu suami di pusat cuci kereta kerana dia baru membuka perniagaan dan membawa anak ke situ. Kebetulan ketika membakar sampah, ada barangan peninggalan bekas penyewa kedai tiba-tiba meletup hingga terkena pada anak.
“Hanya Allah saja memahami situasi ditempuhi kami ketika itu, Muhamad Nazran rebah dan kulitnya melecur,” katanya.
Siti Zaleha berkata, kejadian turut mengakibatkan kecederaan pada kedua belah mata anaknya namun ia tidak begitu serius.
Menurutnya, Muhamad Nazran masih menjalani rawatan di HSI dan sekiranya dibenarkan pulang, dia perlu menjalani pemeriksaan doktor seminggu sekali sehingga keadaannya sembuh sepenuhnya.
Katanya, baru-baru ini Muhamad Nazran menjalani pembedahan bagi menampal kulit yang memiliki kesan melecur yang serius di bahagian tangan dan perut.
“Doktor mengambil kulit di paha untuk ditampal di bahagian yang melecur teruk.
“Doktor memaklumkan tempoh penyembuhan memakan masa lebih lima bulan sekiranya menjalani rawatan sesuai dan penjagaan yang baik.
“Malah doktor juga mengesyorkan menggunakan pek tampalan kolagen bagi membolehkan lukanya sembuh dengan cepat.
“Sebelum ini doktor menampal kolagen itu di bahagian muka, Alhamdulillah nampaknya ada perubahan,” katanya.
Siti Zaleha berkata, kos pembelian kolagen itu dianggarkan RM3,840 sebulan kerana ia berharga RM160 sekeping.
Menurutnya, buat masa ini keluarganya masih dalam usaha mengumpul dana untuk membeli pek kolagen kerana pendapatan bulanan suami, Muhammad Muklis Muda, 33, iaitu kira-kira RM2,000 juga perlu digunakan bagi menampung perbelanjaan dapur, kos ulang-alik ke hospital serta persekolahan anak sulung.
Katanya, dua anaknya iaitu anak sulung perempuan berusia lapan tahun dan anak bongsu berusia setahun dijaga oleh keluarganya.
“Saya bersyukur kerana doktor dan hospital memberikan rawatan yang sebaik mungkin.
“Kami berharap dapat membeli pelekat kolagen bagi Muhammad Nazran supaya lukanya cepat sembuh dan keadaannya normal seperti sebelum ini.
“Kami bimbang dengan masa depannya terutama apabila perlu ke sekolah dan berharap mana-mana agensi berkaitan membantu,” katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Muhammad Nazran Eijaz Rizqi menerusi akaun Public Islamic Bank Siti Zaleha di 6834859031.
© New Straits Times Press (M) Bhd




