KANGAR: Jika dahulu bidang kedoktoran, kejuruteraan dan pendidikan menjadi pilihan utama namun kini semakin ramai anak muda berpendidikan tinggi memilih menceburi bidang lebih praktikal dan kreatif seperti tukang gunting rambut.
Salah seorang anak muda yang memilih profesion itu, Muhammad Musyrif Amni Mohd Nizam,21, berkata, bidang berkenaan bukan lagi dianggap sebagai kerja biasa sebaliknya diangkat sebagai satu bentuk kesenian yang memerlukan kemahiran halus, kreativiti dan ketelitian.
Katanya yang memiliki diploma akaun daripada Kolej Poly-Tech Mara dan kini menyambung pengajian di peringkat
Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), pada masa ini, ramai anak muda termasuk graduan universiti menunjukkan minat dalam bidang tersebut yang menjamin pendapatan tetap serta lumayan.
Ujar beliau, kebanyakkan mereka sanggup menghadiri kursus-kursus gunting rambut, menyertai pertandingan dan berkongsi hasil kerja mereka khususnya di media sosial seperti Instagram, TikTok dan YouTube.
Katanya, anak muda berpendidikan tinggi yang menceburi bidang tersebut kebanyakkan mempunyai kelebihan tersendiri kerana bukan sahaja cepat belajar seterusnya mahir dalam teknik guntingan malah turut bijak dalam aspek pengurusan, pemasaran dan komunikasi.
âDengan pengetahuan dalam bidang perniagaan, mereka boleh menguruskan kedai gunting rambut atau barber shop ini dengan lebih sistematik menggunakan teknologi digital bagi menempah temu janji pelanggan secara atas talian serta menjalankan kempen promosi secara kreatif di media sosial.
âRamai antara mereka yang berjaya menjenamakan perkhidmatan dengan cara tersendiri dengan ada yang tampil dengan konsep barber shop moden, bertema klasik, sehinggalah kepada perkhidmatan gunting rambut bergerak (mobile barber).
âKesemua ini menunjukkan bahawa pendidikan tinggi bukan penghalang untuk menceburi bidang ini, malah menjadi nilai tambah yang sangat berharga Profesion tukang gunting rambut ini juga merupakan bidang yang tahan lama dan sentiasa relevan di mana orang ramai tetap memerlukan perkhidmatan penjagaan diri seperti potong rambut ini,â katanya.
Katanya, pada masa ini, ramai barber muda sudah menjadi usahawan berjaya malah membuka lebih daripada satu cawangan sekali gus turut membantu merangsang ekonomi tempatan dan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Selain itu, katanya, dengan pendidikan yang ada akan membantunya menguruskan perniagaan dengan baik serta mempraktiskan pengurusan kewangan untuk menjadikan cita-citanya membuka Draco Acip Barber setelah menamatkan pengajian kelak.
âMinat saya dalam bidang ini juga bermula dengan memotong rambut rakan-rakan dan kini menjadi sumber pendapatan sampingan saya dan simpanan ini akan digunakan untuk mendapatkan kursus jangka pendek di negara yang terkenal dengan fesyen rambut seperti Paris atau London School of Barbering di United Kingdom (UK) kerana ia akan memberi lebih keyakinan kepada bakal-bakal pelanggan saya nanti.
âSaya juga sedang menyiapkan aplikasi yang membolehkan pelanggan menempah slot untuk menggunting rambut tanpa menanti lama serta boleh mengetahui waktu operasi tanpa perlu ke barber untuk mengetahui buka atau tutup.
âSelain itu, saya juga bercadang untuk memperluaskan aplikasi ini kepada rangkaian barber lain agar dapat membantu pelanggan-pelanggan mengetahui lokaliti barber di kawasan mereka serta boleh memilih barber yang mempunyai servis dan mutu terbaik,â katanya.-UTUSAN