Petaling Jaya: Kebelakangan ini, masyarakat semakin gusar dengan pelbagai gejala sosial yang melibatkan anak muda. Kes buli, pergaduhan, kurang adab terhadap guru dan jenayah kecil sering menjadi berita utama. Fenomena ini mencerminkan betapa nilai akhlak dalam kalangan generasi muda semakin pudar.
Generasi muda sebenarnya ialah penerus ummah dan pewaris masa hadapan. Namun apabila akhlak diketepikan, ia menjadi tanda bahawa sistem pendidikan dan nilai kekeluargaan perlu diperbaiki. Ramai beranggapan punca utama keruntuhan akhlak berpunca daripada kurangnya didikan agama sejak kecil. Dalam kesibukan hidup moden, ramai ibu bapa menyerahkan tanggungjawab mendidik sepenuhnya kepada sekolah. Akibatnya, anak-anak membesar tanpa bimbingan rohani dan tanpa contoh akhlak di rumah.
Ada pula ibu bapa yang terlalu memanjakan anak sehingga anak tidak mengenal disiplin. Dulu, guru bebas menegur demi mendidik, namun kini teguran dianggap salah. Apabila ibu bapa membela anak tanpa menilai betul salah, anak menjadi berani melawan dan hilang rasa hormat.
Pendidikan awal sebenarnya bermula di rumah. Cara ibu bapa bercakap, berkelakuan dan menegur sudah menjadi contoh kepada anak. Islam menekankan bahawa mendidik anak bukan hanya memberi ilmu, tetapi membentuk peribadi. Anak perlu diajar doa, sopan santun, kawalan emosi dan nilai kejujuran sejak kecil.
Setiap individu juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu agama dan pendidikan sebelum melangkah ke alam rumah tangga. Tanggungjawab mendidik tidak bermula selepas anak lahir, tetapi sejak diri sendiri dibentuk dengan ilmu dan akhlak yang benar. Ibu bapa yang berilmu dan beradab akan mampu melahirkan keluarga yang tenang serta anak-anak yang berjiwa iman dan berakhlak mulia.
Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang dipimpinnya.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menegaskan bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab kepimpinan — ibu bapa terhadap anak-anak, guru terhadap pelajar dan pemimpin terhadap rakyat. Maka, mendidik dengan amanah dan kasih sayang adalah kewajipan, bukan pilihan.
Selain itu, pendidikan akhlak seperti yang diajar oleh Luqman al-Hakim dalam al-Quran perlu dijadikan asas. Dalam Surah Luqman ayat 13, beliau menasihati anaknya:
“Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar.”
Ayat ini menunjukkan bahawa asas pendidikan akhlak ialah tauhid iaitu keyakinan kepada Allah yang melahirkan rasa tanggungjawab dan takut melakukan dosa. Nilai seperti berbuat baik kepada ibu bapa, bersabar dan meninggalkan kemungkaran mesti diterapkan sejak kecil.
Guru pula tidak sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga membentuk adab dan jiwa pelajar. Hubungan erat antara guru dan ibu bapa perlu diperkukuh supaya pendidikan berjalan dengan harmoni. Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa pendidikan sebenar bukan sekadar ta‘lim (pengajaran), tetapi ta’dib iaitu pembentukan adab dan keinsafan diri.
Realitinya, anak muda hari ini tidak kekurangan ilmu, tetapi kekurangan panduan rohani. Oleh itu, pendekatan pendidikan perlu kembali kepada asas Islam yang menyeimbangkan akal, hati dan akhlak. Dalam hal ini, saya mencadangkan agar ilmu psikospiritual Islam dipelajari oleh masyarakat, khususnya golongan muda dan bakal pasangan suami isteri.
Psikospiritual Islam ialah ilmu yang menggabungkan pemahaman tentang jiwa manusia berdasarkan al-Quran dan sunnah, mengajar cara menyucikan hati, mengawal emosi, mengenali diri serta mendekatkan diri kepada Allah. Apabila seseorang memahami dimensi rohani dirinya, dia akan lebih tenang, matang dan berakhlak.
Ilmu ini wajar dijadikan modul wajib seperti kursus pra-perkahwinan, bahkan perlu diajar kepada golongan bujang sebagai persediaan membina keluarga. Sebelum menjadi ibu atau bapa, seseorang perlu melatih diri dengan nilai sabar, kasih dan tanggungjawab supaya mampu menjadi qudwah (teladan) yang baik. Tidak kira latar keluarga, ilmu ini penting untuk kesejahteraan keluarga dan kebaikan ummah.
Sebagai contoh, keluarga kenalan saya menunjukkan teladan yang baik apabila ibu bapa mereka memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak. Setiap malam mereka berkumpul bersama, dan ibu bapa menegur dengan nasihat penuh hikmah. Anak-anak yang lain mengambil iktibar dan berusaha memperbaiki diri. Mereka juga solat berjemaah, dan setiap anak yang berumur tiga belas tahun ke atas ditugaskan membimbing adik masing-masing dalam ibadah dan pelajaran. Didikan seperti ini menjadikan anak-anak bertanggungjawab dan berakhlak, hasil bimbingan ibu bapa yang berasaskan ilmu dan kasih sayang.
Marilah kita bersama memainkan peranan sebagai ibu bapa, guru, masyarakat dan pihak berautoriti dalam membimbing generasi muda agar tidak hanyut dalam arus moden. Jika mereka dibentuk dengan iman dan akhlak yang kukuh, insya-Allah mereka akan menjadi generasi beradab dan berjiwa ummah.
Seperti pepatah Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Membina generasi berakhlak mesti bermula dari rumah, daripada ibu bapa yang berilmu dan masyarakat yang peduli. Kerana pada bahu anak muda inilah terletaknya masa depan agama, bangsa dan negara.
Penulis Artikel:
Noor Aleya binti Izhar
Pelajar Tahun Ketiga, Jabatan Usuluddin dan Dakwah
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
Emel: aleyaizhar04@gmail.com



