am@hmetro.com.my
Pasir Mas: “Allah saja tahu betapa remuk hati saya apabila dilabelkan sebagai anak derhaka oleh aktivis masyarakat (Abbe Hae) itu dan dikecam oleh orang ramai sedangkan kami sekeluarga sangat menjaga bapa,” kata Abdullah Ismail, anak kepada lelaki warga emas yang didakwa diabaikan.
Abdullah, 59, berkata, bapanya, Ismail Che Noh, 79, atau yang dikenali sebagai Pak Mail itu mengalami masalah nyanyuk sejak lebih setahun lalu dan menetap di sebuah rumah kecil di sebelah rumahnya berseorangan selepas kematian isteri.
“Bapa enggan tinggal bersama kami. Saya meminta anak sulung supaya menemani dan menguruskan ayah namun semakin hari sikap ayah semakin agresif sehingga bertindak menyepahkan rumah dan memecahkan barangan.
“Anak sulung kemudiannya menyewa di rumah lain namun kami yang tinggal di sebelah rumah tidak pernah mengabaikannya malah setiap hari, saya akan membelikannya nasi bungkus sebelum keluar bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Repek, di sini, hari ini.
Bukan setakat itu sahaja, Abdullah berkata, ketika waktu rehat, dia akan pulang untuk memandikan bapanya kerana lampin pakai buang yang dipakaikan sering ditanggalkan, selain memastikan makan tengah hari sudah diberikan sebelum kembali ke tempat kerja di Wakaf Bharu, Tumpat.
“Tidak timbul isu berkaitan pengabaian yang didakwa aktivis itu dan kami tidak tahu dari mana dia mendapat berita mengenai ayah sebelum datang dan terjah dengan memecahkan pintu rumah ayah yang didakwa kami mengurungnya tanpa sebab,” katanya.
Abdullah berkata, dia terpaksa mengurung bapanya kerana sering keluar merayau sejak nyanyuk sehingga menyebabkan mereka perlu mencari dan ada kalanya dihantar sesiapa yang mengenali.
Katanya, mereka sekeluarga sangat terkejut apabila kisah bapanya tular sebaik Abbe Hae datang dan ‘membantu’ warga emas itu yang didakwa seolah-olah diabaikan ahli keluarga.
“Ketika dia (Abbe Hae) datang, hanya ada seorang anak perempuan sahaja di rumah dan rombongan itu memecahkan pintu untuk membawa keluar bapa dan dalam masa sama anak dihalang untuk menjelaskan perkara sebenar malah dimarahi.
“Mereka kemudiannya membawa bapa ke Hospital Pasir Mas dan ditinggalkan di sana sebelum saya pergi untuk membawa pulang bapa, malah laporan polis juga dibuat atas dakwaan kami mengabaikan bapa,” katanya.
Abdullah menegaskan dia tidak mungkin sanggup mengabaikan bapanya sendiri kerana orang luar tidak pernah mengetahui bagaimana mereka sekeluarga menguruskan warga emas itu sebaik mungkin.
“Saya akan tetap menjaga ayah sehingga akhir hayat dan dia pun dipindahkan ke rumah kami walaupun sering mengamuk ingin kembali ke rumahnya tapi kami akan memasang jeriji besi di pintu bilik bagi mengelakkannya keluar,” katanya.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra Zamakhshari Muhamad hadir menziarah keluarga itu dan menyerahkan sumbangan kerusi rehat serta tilam untuk kegunaan warga emas terbabit.
Beliau berkata, perkara itu dalam makluman pihaknya sejak dua minggu lalu sebelum ditularkan dan sudah membuat perbincangan bersama pemimpin setempat mengenai bantuan yang akan dibuat.
Rombongan ziarah itu turut disertai wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas yang memberitahu kelulusan sudah diperoleh untuk bantuan bulanan Ismail berjumlah RM500 sebulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




