Makkah: “Mak, jangan risau, adik ada di sini. Adik akan pastikan mak dapat menunaikan ibadat haji dengan sempurna.”
Itu janji pembantu tadbir Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Mohd Rodzi Che Noh, 38, anak bongsu daripada tujuh beradik, yang menjadi pengiring kepada ibunya, Sofiah Talib, 76, di Tanah Suci Makkah, demi memenuhi hasrat wanita itu untuk menunaikan haji.
Berbekalkan kasih sayang dan tanggungjawab sebagai anak, lelaki dari Alor Setar itu tidak ragu-ragu untuk menyahut seruan haji bersama ibunya, meskipun terpaksa meninggalkan urusan peribadi demi memastikan ibunya dapat menunaikan rukun Islam kelima, dengan tenang dan sempurna.
“Sebagai anak, sudah tentu kita ada rasa tanggungjawab dan sifat ingin membantu ibu bapa, lebih-lebih lagi apabila mereka mahu menunaikan hasrat yang lama terpendam. Apa impian mak, saya cuba penuhi.
“Ini cara saya membalas jasa mak membesarkan kami dengan penuh kasih sayang dan tanpa pernah merungut. Tak mampu saya gambarkan dengan kata-kata dan ini juga impian saya iaitu memastikan mak menunaikan haji dengan sempurna,” katanya.
Mohd Rodzi berkata, meskipun pergerakan ibunya terbatas disebabkan faktor usia, dia tidak jemu membantu insan kesayangannya menunaikan ibadat dengan sempurna, kerana pengorbanan wanita itu membesarkan mereka adik-beradik tanpa pernah mengeluh.
“Mak kuat semangat dan sudah menyimpan wang untuk menunaikan haji sejak berusia 45 tahun. Mak suri rumah, jadi dia menabung duit bendang diusahakan ayah sedikit demi sedikit,” katanya.
Mohd Rodzi berkata, arwah bapanya sepatutnya menjadi pengiring, bagaimanapun dia meninggal dunia pada 2023, menjadikan dirinya sebagai satu-satunya harapan untuk menemani ibu yang merupakan bekas pesakit barah payudara tahap dua.
Sementara itu, Sofiah bersyukur kerana impian mahu menunaikan haji sejak bertahun-tahun lepas kini menjadi kenyataan, selepas dia menerima khabar gembira bebas daripada barah pada 2021.
“Alhamdulillah, seronok bila ada peneman. Kalau bersendirian, saya rasa tak mampu untuk datang tunaikan haji sebab saya memang tidak biasa seorang diri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
