nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hanya mahu menunjukkan kementeriannya sempurna dalam semua segi meskipun terdapat kes besar perlu ditangani.
Disebabkan itu, Ahli Parlimen Pandan menasihatkan Fadhlina untuk berubah dan lebih mendengar permasalahan yang diutarakan oleh rakyat.
Katanya, meskipun terdapat perbezaan pendapat, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu perlu mendengar tanpa melenting atau menyalahkan rakyat.
“Saya nak tegur Fadhlina, sebagai bekas menteri dan pernah sama-sama dalam Kabinet, bila dalam menangani isu pendidikan beliau mahu tunjuk yang sempurna sahaja. Semuanya baik, semuanya bagus.
“Bila orang tanya sikit, beliau akan jegil mata dan kata Jangan kacau kami. Sikap itu tak boleh, sebab beliau berada dalam kementerian barisan hadapan yang membabitkan rakyat.
“Ada beberapa kementerian yang melibatkan nyawa manusia, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Kementerian yang disebutkan ini, ia agak kompleks sebab setiap hari ada sahaja isu yang mereka perlu tangani. Sepatutnya bila isu ini berlaku (buli) beliaulah paling banyak kena mendengar, bukannya bersikap defensif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan isu buli dalam *podcast* Yang Berhenti Menteri (YBM) yang disiarkan secara langsung di Facebooknya, malam ini.
Turut bersama dalam podcast berkenaan ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail serta aktivis pendidikan Victor Tan.
Rafizi berkata, isu buli sangat dekat dengan dirinya kerana anak tunggalnya juga pernah menjadi mangsa di sekolah hanya disebabkan menjadi anak seorang tokoh politik.
“Anak saya menjadi mangsa buli di sekolah, setakat ini sudah tiga kali anak saya terpaksa ditukar sekolah hanya disebabkan dia tidak tahan dikacau kerana menjadi anak orang politik.
“Jadi bila Fadhlina hanya tunjukkan semua benda baik, saya tidak boleh terima. Kerana saya sudah melaluinya, bagaimana saya sebagai bapa bersama isteri perlu tangani isu ini di sekolah. Isteri saya terutamanya banyak berjumpa guru dan membuat pelbagai cara tapi masalah itu tidak pernah selesai,” katanya.
Rafizi berkata, Fadhlina seharusnya menjawab segala persoalan rakyat dengan fakta dan bukannya menolak mentah-mentah segala cadangan yang diberikan kepadanya.
“Persepsi rakyat terhadap Menteri Pendidikan sekarang adalah rakyat tidak boleh tanyakan soalan langsung, semuanya akan dijawab dengan kita sudah rancang atau kita sudah ada. Jadi orang daripada suka, jadi tak suka dengan sikap sedemikian.
“Bila orang bagi pandangan, beliau kena terima dan perlulah berikan pandangan daripada pihak kementerian, bukan bersikap defensif,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




