am@hmetro.com.my
Kuantan: Anak polis bantuan dan tukang jahit diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Kali ke-19 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Dewan Kompleks Sukan Universiti, UMPSA Gambang, di sini, esok.
Dua graduan universiti itu ialah Fatini Nasuha Ahmad Puad, 23, dari Shah Alam, Selangor dan Choong Wai Kit, 24, dari Ipoh, Perak, bakal menerima anugerah daripada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang juga Pro Canselor UMPSA.
Fatini Nasuha berkata, dia bersyukur atas rezeki yang diberikan oleh Allah SWT berkat daripada sokongan daripada semua pihak terutama bapa dan ibu, Ahmad Puad Mohd Isa, 60, dan Mulyani Munir, 58
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan anugerah ini bukan kejayaan saya seorang, malah dengan bantuan daripada pensyarah dan rakan dalam membantu sepanjang empat tahun di UMPSA.
“Saya turut aktif dalam aktiviti sukarelawan kerana ia bukan saja membuatkan saya fokus kepada pengajian tetapi dapat membina sahsiah dan memperkasakan diri,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) itu.
Dia ditemui selepas sidang media Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19, di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor UMPSA Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.
Sementara itu, Wai Kit berkata, dia tidak menyangka diumumkan sebagai penerima anugerah berkenaan tetapi pada masa sama gembira dengan pencapaian itu.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia dari FTKKP itu berkata, kejayaannya hasil sokongan semua pihak terutama pensyarah, rakan dan ibu, Yee Lai Shan, 52, serta kakak, Choong Wai Teng, 26.
“Ayah meninggal dunia sembilan tahun lalu dan saya bergantung sepenuhnya kepada ibu yang bekerja sebagai tukang jahit dan kakak yang turut membantu daripada segi kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, Yuserrie berkata, UMPSA bakal meraikan 5,115 graduan pada Majlis Konvokesyen Kali ke-19 UMPSA selama tiga hari bermula esok.
“Baginda akan mencemar duli dengan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim iaitu penganugerahan tertinggi akademik atas pelbagai sumbangan yang dicurahkan kepada universiti dan pendidikan tinggi negara.
“Dr Daing Nasir adalah Naib Canselor UMPSA ketiga yang berkhidmat selama 11 tahun dari 2008 hingga 2019.
“Ketokohan beliau terserlah apabila kini, Dr Daing Nasir dilantik sebagai Rektor di Oxus University, Uzbekistan yang menyaksikan kecemerlangan pentadbiran beliau memimpin di institusi terkemuka dalam memartabatkan pendidikan tinggi di dalam negara dan di peringkat antarabangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




