Anak Rafizi Diserang: PMX Mahu Siasatan Telus

Anak Rafizi Diserang: PMX Mahu Siasatan Telus

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa agar siasatan telus dijalankan berhubung insiden membabitkan anak bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kita masih belum selesai dengan isu buli di sekolah, kini timbul pula satu lagi perbuatan yang amat dikesalkan. Terkini, berlaku pula percubaan jahat dan khianat terhadap anak saudara Rafizi Ramli,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mendoakan kesejahteraan Rafizi serta keluarganya.

Sementara itu, Saifuddin memberi jaminan bahawa semua siasatan akan dijalankan secara adil dan mengikut undang-undang, tanpa dipengaruhi status atau latar belakang mana-mana pihak.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri memandang serius kejadian tersebut, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti serta membawa pelaku ke muka pengadilan.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan bahawa anak bekas timbalan presiden PKR itu diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya. Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 2 petang di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang.

Rafizi yang turut mengesahkan insiden itu mendakwa anaknya telah diheret oleh seorang lelaki dan dicucuk dengan jarum suntikan. Beliau juga mendakwa serangan tersebut melibatkan dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar yang menunggang sebuah motosikal.

Mangsa telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Sumber: Bernama


Scroll to Top