Anak Sabari Terkilan, Duit Simpanan Bapa Yang Sepatutnya Untuk Haji Telah Digunakan Suspek Berjudi Di Batam | Oh! Media
Anak kepada pesara Felcra, Sabari Baharom, Suraiya Izzaty, berasa terkilan apabila mengetahui bahawa duit simpanan bapanya yang disamun oleh suspek telah digunakan untuk berjudi di Batam.
Wang tersebut sebenarnya disimpan oleh Sabari dengan niat menunaikan ibadah haji, namun niat murni itu tidak kesampaian.
Ayah memang berhasrat untuk menunaikan haji kerana duit simpanannya sudah cukup, tetapi dia masih menunggu panggilan dari Tabung Haji.- Kata Suraiya.
Namun, selepas bapanya disamun dan dibunuh dengan kejam, Suraiya terkejut mengetahui wang simpanan itu digunakan untuk berjudi.
Saya tak sangka suspek tergamak menyamun wang simpanan ayah semata-mata untuk berjudi, sedangkan ayah bersusah payah mengumpulnya untuk menunaikan haji.- Katanya.
Tergamak dan kejam….
Suraiya turut meluahkan perasaan ralatnya terhadap tindakan kejam suspek yang telah membunuh bapanya. Sabari dikatakan diikat, mulutnya ditutup dengan pita pelekat sebelum dicampakkan ke sungai dan jasadnya masih belum ditemui sehingga kini.
Suspek seperti manusia tidak bermoral sehingga sanggup membunuh ayah yang tidak bersalah hanya untuk menutup jenayahnya.- Jelas Suraiya.
Harap suspek terima hukuman setimpal…
Suraiya dan keluarganya berharap agar suspek dijatuhi hukuman setimpal atas perbuatannya. Walaupun jasad bapanya belum ditemui, mereka reda dan terus berdoa agar mayatnya dapat ditemukan.
Kami sentiasa berdoa dan menunaikan solat hajat serta bacaan Yasin supaya jasad ayah dapat ditemui.- Kongsinya.
Sebelum ini, pihak polis mengesahkan bahawa wang yang disamun oleh suspek telah digunakan untuk berjudi di Batam. Suspek yang merupakan seorang kontraktor juga dipercayai mengalami ketagihan judi.
Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah pada 4 September lalu dan kereta Proton Waja miliknya ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik.