hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar menyerang anak lelakinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, hari ini.
Dalam perkongsian di Facebook beliau mendakwa seorang lelaki mengheret anaknya yang berusia 12 tahun dan mencucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba ketika mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu pada 1.45 tengah hari.
Ketika kejadian, katanya, anak lelakinya ada bersama isterinya.
Dakwanya lagi, semakan menunjukkan dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal mengekori kereta isterinya dan beliau berpandangan bahawa individu terbabit mungkin sudah merancang serangan berkenaan lebih awal.
“Serangan itu membabitkan dua lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhan. Mereka sudah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika (masa) yang sesuai,” tulisnya.
Menurutnya, anaknya sudah dibawa ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk rawatan dan pihak polis juga sudah berada di tempat kejadian sejurus kejadian untuk siasatan.
Katanya, beliau dan keluarganya sudah memberi kenyataan kepada pihak polis berhubung kejadian berkenaan.
“Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan Hospital UPM.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Hospital UPM yang sudah membantu keluarga saya melalui kejadian ini,” katanya.
Rafizi berkata, sepanjang menjadi ahli politik, ini kali pertama keluarganya menjadi sasaran dan beliau tidak menolak serangan itu sebagai amaran kepadanya.
“Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu. Terima kasih kepada semua yang menghantar mesej dan bertanya khabar.
“Insya-Allah, sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa,” katanya.
Media hari ini melaporkan, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu dilaporkan diserang di tempat menurun dan mengambil penumpang di pusat beli-belah berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dipetik berkata, siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti suspek.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul juga dilapor akan mendapatkan penjelasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai dakwaan berlaku serangan ke atas anak bekas Menteri Ekonomi itu.
- Dakwaan anak Rafizi diserang, Speaker Dewan Rakyat minta penjelasan KDN
- Polis sahkan anak Rafizi diserang, sedang kenal pasti suspek
© New Straits Times Press (M) Bhd