am@hmetro.com.my
Subang Jaya: “Anak-anak bersemangat nak sekolah walaupun pakaian dan barang kelengkapan sekolah masih tidak lengkap, ” kata Nurul Izzati Ramli, 36, yang juga mangsa tragedi kebakaran saluran gas di Putra Heights, dekat sini.
Dua anaknya Affan Fatuhurahman, 9, dan Afiyah Firzanah, 8, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Hicom, hari ini dihantar ke sekolah dengan van Rapid KL-On Demand.
Nurul Izzati Ramli, yang juga pegawai meteorologi berkata, dia bersyukur kerana banyak pihak menghulurkan sumbangan baju sekolah kepada anak-anak yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Anak saya memang dah semangat nak ke sekolah sebab dah lama cuti, cuma abangnya dia sedih sikit sebab terpaksa pakai uniform sekolah biasa sebab dia pengawas.
“Sumbangan daripada banyak pihak mencukupi bagi membolehkan anak-anak ke sekolah,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagaimanapun, katanya, ada sedikit kerisauan berhubung pergerakan anak-anaknya ke sekolah kerana ini kali pertama mereka menaiki van pengangkutan awam.
“Sebelum ini, pengasuh akan hantar dan ambil mereka dari sekolah, jadi hari ini saya sedikit risau sebab pertama kali mereka naik van Rapid KL,” katanya.
Sementara itu, jurujual Junaidah Nordin, 52, dia berasa lega kerana anak masih ingin ke sekolah walaupun kejadian itu memberi kesan kepada mereka sehingga hari ini.
“Mulanya anak saya memang tak pergi sekolah sebab tiada kenderaan, tapi apabila dimaklumkan malam tadi ada kemudahan pengangkutan untuk hantar ke sekolah, mereka terus bersemangat.
“Tiada persiapan disediakan untuk anak, Alisya Hanni, 15, kerana kebanyakan kelengkapan sekolah berada di rumah di Kampung Kuala Sungai Baru.
“Rumah saya zon merah, jadi saya tak boleh nak balik ambil barang sekolah anak sebab tak dibenarkan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, dia berasa lega kerana pihak sekolah amat memahami dengan situasi mereka sekeluarga sehingga diberikan perlonggaran kepada anaknya itu.
“Anak saya ke sekolah hari ini hanya berpakaian t-shirt dan seluar biasa sahaja,” katanya.
Pemandu van Rapid KL, Aidil Hakim, 35, berkata setiap pelajar akan dihantar sejam sebelum waktu persekolahan bermula dan akan dijemput sebelum waktu tamat persekolahan.
“Mereka akan dihantar mengikut laluan pergerakan van ke di sekolah masing-masing termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah, Sekolah Kebangsaan Seksyen 27 (2), Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 27, SK Hicom dan Sekolah Kebangsaan Seksyen 27 (1),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




