Anak syarikat agensi KKDW catat kerugian telah ditutup – Zahid

Anak syarikat agensi KKDW catat kerugian telah ditutup – Zahid

PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengesahkan telah menutup anak syarikat agensi di bawahnya yang gagal menjana keuntungan kepada kementerian itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi memastikan KKDW tidak lagi menanggung beban kewangan seperti sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, butiran lanjut mengenai anak syarikat akan didedahkan pada sidang Parlimen akan datang.

“Telah ada (anak syarikat) yang ditutup, kami juga menawarkan ‘management buyout’ (pengambilalihan pengurusan) kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan.

“Kita serahkan kepada mereka dengan bayaran nominal bagi mereka meneruskan jika ia keluar dari badan induk (KKDW).

“Ini adalah acuan baru dalam pentadbiran kerajaan seperti yang dimulakan perdana menteri ke atas mana-mana anak syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dan tindakan sama dibuat di KKDW.

“Nanti saya buat pengumuman di Parlimen sebaik-baiknya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun 2024 KKDW, di sini, hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, media melaporkan Ahmad Zahid berkata, anak syarikat agensi di bawah KKDW yang tidak memberikan keuntungan, akan ditutup dan digabungkan dengan anak syarikat lain.

Beliau berkata, ia adalah saranan KKDW kepada Kementerian Kewangan dalam usaha drastik untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan dan menstruktur semula anak syarikat bawah agensi kementerian. – MalaysiaGazette