kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS), menerusi anak syarikatnya, Suria Hijauan Sdn Bhd (Suria) berjaya memperoleh kemudahan pembiayaan hijau berjumlah RM88.4 juta daripada Alliance Bank Malaysia Berhad bagi membiayai kos kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek ladang solarnya berkapasiti 43 megawatt puncak (MWp).
Projek itu dilaksanakan di bawah Program Tenaga Hijau Korporat, terletak di Senawang, Negeri Sembilan, dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025.
Ladang solar terbabit dijangka akan menjana pendapatan stabil dan berulang, sekali gus mengukuhkan daya tahan pendapatan jangka panjang serta menzahirkan komitmen LBS terhadap pembangunan mampan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Datuk Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, pembiayaan hijau ini menandakan satu mercu tanda penting bagi LBS dalam usaha memperluaskan portfolio kumpulan ke dalam industri tenaga boleh diperbaharui, sekali gus mengukuhkan komitmen kami terhadap kelestarian.
“Kejayaan mendapat kemudahan kredit daripada institusi kewangan ternama seperti Alliance Bank menunjukkan potensi kukuh dalam mengusahakan tenaga boleh diperbaharui kami serta keupayaan untuk memperluaskan inisiatif dalam sektor ini.
“Sokongan ini mencerminkan keyakinan terhadap hala tuju strategik dan kekuatan kewangan kami, selain memudahkan pelaksanaan projek ini dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, inisiatif terbabit bukan sahaja selaras dengan aspirasi LBS untuk memberi impak positif terhadap alam sekitar, malah secara strategik, melengkapi teras perniagaan pembangunan hartanah kami dengan mengintegrasikan produk masa hadapan bersama penyelesaian tenaga boleh diperbaharui.
Ladang solar itu dijangka akan menjana kira-kira 53,000 megawatt jam (MWh) tenaga bersih setiap tahun, sekali gus mengimbangi sekitar 35,000 tan pelepasan karbon secara berkesan.
Atlantic Blue Sdn Bhd, anak syarikat kepada Solarvest Holdings Berhad, dilantik sebagai kontraktor EPCC di bawah kontrak bernilai RM104.0 juta, dengan kepakarannya dalam melaksanakan projek solar berskala besar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kelle Kam berkata, pihaknya percaya bahawa institusi kewangan memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan mampan.
“Kami berasa berbesar hati dapat bekerjasama dengan LBS, syarikat yang nilai dan visinya sejajar dengan aspirasi kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




