Beijing: Seorang lelaki muda di China mengejutkan negara itu selepas didapati merancang bersama rakan-rakannya membunuh ibunya dalam ‘kemalangan jalan raya palsu’ bagi mendapatkan wang insurans, lapor South China Morning Post.
Lelaki berusia 23 tahun itu yang dikenali sebagai Lu dan rakannya, Yang dijatuhi hukuman mati kerana pembunuhan terancang, manakala seorang lagi lelaki, Cheng, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana bersubahat dalam jenayah itu.
Keputusan itu dijatuhkan oleh Mahkamah Perantaraan Rakyat Taizhou di wilayah timur Zhejiang pada April lalu tetapi hanya didedahkan baru-baru ini, lapor portal berita The Paper. Ketiga-tiga defendan merayu tetapi keputusan rayuan belum dicapai.
Lu dan dua rakannya adalah bekas rakan sekelas di sebuah sekolah menengah di Taizhou merancang skim penipuan itu selepas ibu Lu, Xu cedera dalam kemalangan jalan raya pada April 2023 dan menerima pampasan 320,000 yuan (kira-kira RM211,500) daripada syarikat insurans.
Lu dan Yang mengeluarkan wang itu dari akaun bank Xu sebelum membelanjakannya untuk barangan mewah.
Mereka pada mulanya merancang untuk mencucuk mata Xu dengan harapan mendapat pampasan insurans daripada kecederaannya. Apabila rancangan itu gagal, mereka mencucuk mata bapa Lu dengan batang buluh menyebabkan mereka berjaya mendapatkan pampasan insuransnya sebanyak 1,300 yuan (kira-kira RM858).
Didorong oleh kejayaan itu, mereka merancang satu lagi rancangan lebih bahaya dan membabitkan jumlah wang yang lebih besar. Yang mencadangkan kepada Lu supaya mereka mencipta kemalangan kereta untuk membunuh datuknya dengan alasan bahawa pesalah kemalangan jalan raya yang membabitkan warga emas jarang dipenjarakan.
Bagaimanapun, Lu menolak cadangan itu kerana dia dibesarkan oleh datuknya, dan mereka akhirnya bersetuju menyasarkan ibunya memandangkan hubungan antara Lu dan ibunya kurang baik.
“Yang memberitahu saya bahawa jika kami membunuh ibu saya dan menerima pampasan insurans, kehidupan keluarga saya akan menjadi lebih baik. Jadi saya bersetuju untuk membunuh ibu saya,” kata Lu kepada polis.
Pada 30 September 2023, Lu meminta ibunya keluar bersamanya dan membiarkannya menunggu di tepi jalan. Yang kemudian memandu kereta dengan Cheng duduk di sebelahnya lalu merempuh wanita itu. Xu yang berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di hospital.
Lu menimbulkan syak wasangka polis apabila keterangan yang diberikan oleh dia dan dua rakannya kepada penyiasat bercanggah. Ketiga-tiga suspek juga sudah berbincang tentang cara membahagikan wang insurans itu.
Mahkamah memutuskan bahawa lelaki itu harus dihukum berat kerana niat jenayah mereka yang terancang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




