Anak terkejut ayah jadi mangsa tetak

Anak terkejut ayah jadi mangsa tetak

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Saya terkejut bila dapat tahu (ayah ditetak), tak tahu apa punca, kami serah pada polis untuk siasat,” kata anak sulung peneroka FELDA yang maut di FELDA Lok Heng Selatan, Kota Tinggi, semalam.

Lelaki berusia 40 tahun yang enggan dikenali itu berkata, dia yang tinggal di Pengerang, Kota Tinggi, bergegas pulang ke kampung selepas dimaklumkan kejadian itu oleh rakan-rakannya.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian pada 9 malam, bapanya sudah meninggal dunia.

“Masa kawan telefon, saya cuma dapat tahu ada orang mengamuk dan ayah jadi mangsa. Saya tak pasti apa yang berlaku sebenarnya.

“Setahu saya, suspek muda lagi, ayah saya pula 68 tahun. Jadi, saya rasa mereka saling tidak mengenali.

“Walaupun tinggal sekampung, tetapi jarak rumah masing-masing pun jauh,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pasir Gudang (HPG), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, bapanya tinggal bersama ibunya yang berusia 58 tahun serta adik dan adik iparnya.

“Kali terakhir saya jumpa ayah Sabtu lalu. Memang hari minggu saya akan balik jumpa keluarga.

“Ayah sihat sahaja, tak ada sakit dan tak ada rekod masalah kesihatan pun.

“Jumpa hari itu pun ayah baik-baik sahaja, kita makan-makan bersama di rumah,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis dan berharap mendapat pembelaan sewajarnya.

“Pada saya, tindakan suspek pada ayah saya memang sangat kejam. Kalau ada masalah sepatutnya boleh berbincang. Kami sekeluarga masih tak tahu apa motif kejadian,” katanya.

Peneroka FELDA itu dilaporkan meninggal dunia dipercayai ditetak seorang lelaki disyaki menggunakan parang.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek berusia 41 tahun sudah berjaya ditahan di dalam kebun kelapa sawit di Kota Tinggi pada 10.26 pagi hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top