Anak tertinggal, video tular: Polis sahkan terima laporan ibu

Anak tertinggal, video tular: Polis sahkan terima laporan ibu

harisfadli@hmetro.com.my

Serdang: Polis mengesahkan menerima laporan dibuat seorang wanita berusia 37 tahun berhubung klip video tular berdurasi satu minit sembilan saat membabitkan dirinya dan anak.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, suri rumah itu membuat laporan polis berikutan menerima pelbagai komen negatif susulan penularan klip video itu.

Menurutnya, kejadian disahkan berlaku pada 20 Ogos lalu, jam 12 tengah hari semasa pengadu mengambil anak kembarnya daripada sebuah sekolah rendah di Seri Kembangan.

“Pengadu yang menaiki sebuah kereta hanya menyedari ketiadaan seorang anaknya semasa membuat pusingan U di hadapan sekolah berkenaan.

“Sejurus menyedari ketiadaan anaknya, pengadu terus memberhentikan kenderaan selepas melihat anaknya mengejar daripada belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada masa sama Muhamad Farid memohon orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau komen jelik berhubung kes berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top