Anak teruja, ibu bapa tak lena tidur

Anak teruja, ibu bapa tak lena tidur

nurhanim.osman@bh.com.my

Shah Alam: Suasana hari pertama sesi persekolahan tahun 2026/2027 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent, Elmina di sini, hari ini meriah dengan kehadiran ratusan ibu bapa dan penjaga yang mengiringi anak-anak mereka seawal 6.50 pagi.

Tinjauan mendapati, ini adalah hari pertama sekolah ini dibuka selepas dipindahkan dari Gemencheh, Negeri Sembilan.

Lebih istimewa, reaksi ibu bapa murid Tahun Satu turut menarik perhatian ramai apabila ramai yang kelihatan sebak dan teruja melihat anak memasuki alam persekolahan.

Suri rumah, Naim Yusoff, 38, berkata, dia teruja apabila anak sulungnya memulakan hari pertama persekolahan di sekolah ini yang terletak kira-kira lima kilometer dari kediaman mereka.

Menurutnya, keterujaan itu membuatkan mereka sekeluarga sukar tidur malam tadi.

“Ini satu langkah dan fasa baharu buat satu-satunya anak kami hingga tak dapat tidur malam tadi kerana gembira memikirkan hari pertamanya di sekolah.

“Kami memilih SJKC kerana percaya itulah yang terbaik untuk masa depannya dan kami harap dia dapat menyesuaikan diri dengan baik,” katanya.

Sementara itu, anaknya, Iyas Dzulshahimie, 7, berkata dia teruja untuk ke sekolah dan sudah mempunyai rakan baharu.

“Sudah ada ada kawan baru, tapi tak tahu nama lagi,” katanya tersenyum.

Dalam pada itu, Pengerusi Pengelola sekolah berkenaan, Datuk Azman Ching turut menekankan bahawa sekolah itu menjadi perintis dalam penggunaan teknologi terkini melalui sistem penyeliaan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Dengan sistem AI, guru dapat menerima laporan segera selepas sesi pengajaran mengenai kekuatan dan kelemahan mereka.

“AI juga membantu mengesan isu seperti buli lebih awal sebelum menjadi serius. Sistem ini sebelum ini dibangunkan dalam bahasa Mandarin, namun kini kita sesuaikan dengan penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris agar lebih inklusif,” katanya.

Azman berharap usaha itu akan menjadikan SJKC Ladang Regent sebagai sekolah rintis yang berjaya menggabungkan teknologi moden dengan sistem pendidikan pelbagai kaum, sekali gus memperkukuh kualiti pendidikan negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri, Wong Kah Wong turut hadir bagi meninjau hari pertama pembukaan sekolah ini.

tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top