PONTIAN: Anak sulung kepada seorang tukang kebun memperoleh sijil pangkat Mumtaz Sofi (amat cemerlang) dalam keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diumumkan, hari ini.
Nurfatimah Mohamad Nazri, 19, adalah seorang daripada tiga pelajar cemerlang Maahad Pontian, yang memperoleh keputusan 10 Mumtaz dalam semua subjek yang diambilnya.
Nurfatimah berkata, dia bersyukur tekadnya untuk membantu mengubah nasib keluarganya yang susah mula menampakkan hasil.
“Saya dari keluarga yang susah dan tinggal di kediaman disewa bersama ayah, ibu dan tujuh adik yang lain.
“Walaupun ayah bekerja sebagai tukang kebun dengan mengambil upah membersihkan kebun orang dan ibu pula, suri rumah, merekalah yang mendorong saya supaya belajar bersungguh-sungguh.
“Di rumah kami juga tiada kemudahan termasuk televisyen, namun saya bersyukur semua adik beradik yang lain patuh nasihat ibu dan ayah supaya menjadikan kesusahan kami sebagai pembakar semangat untuk meraih kejayaan,” katanya ketika ditemui.
Ditanya petua yang diamalkan untuk cemerlang dalam pelajaran, Nurfatimah yang bercita-cita menjadi pensyarah berkata, restu kedua-dua ibu bapa dan guru adalah paling utama.
Katanya, walaupun turut menggunakan teknik menghafal seperti pelajar lain, kefahaman terhadap setiap mata pelajaran adalah paling penting supaya apa yang dihafal difahaminya dan mampu digunakan pada bila-bila masa.
“Saya tidaklah bergantung sepenuhnya pada hafalan setiap hari, kerana jika ada yang sukar difahami, saya akan rujuk guru.
“Minat membaca bahan ilmiah juga banyak membantu melatih minda terhadap ilmu yang dipelajari.
“Selain itu, saya turut mengamalkan solat tahajud dan berpuasa pada setiap Isnin dan Khamis bagi menyegarkan minda menyerap ilmu dipelajari,” katanya.
Sementara itu, ibunya Normelati Abd Hamid, 43, berkata dia bersyukur atas kejayaan anak sulungnya itu dalam keputusan peperiksaan berkenaan.
“Kejayaan Nurfatimah akan menjadi contoh dan pembakar semangat adiknya yang lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd