Anak kepada pengasas produk kecantikan Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad mendakwa wang tunai berjumlah RM1.3 juta milik ibunya masih belum dipulangkan biarpun Mahkamah Tinggi Syariah sudah mengeluarkan perintah.
Menerusi hantaran di Threads, Irdina Hakim meluahkan rasa kesal apabila mendakwa wang berkenaan masih berada dalam simpanan bapa tirinya.
“13 Ogos hingga 13 September, RM1.3 juta yang diarahkan mahkamah masih tidak dikembalikan ke tempat sepatutnya. Kenapa begitu susah untuk deposit semula wang yang sudah diambil?” tulisnya.
Irdina menegaskan wang tersebut perlu diagihkan secara adil mengikut faraid kerana adik-beradiknya masih memerlukan sokongan kewangan untuk melanjutkan pelajaran.
“Kumpulkan sahaja duit yang sepatutnya dibahagikan secara betul bersama ahli faraid. Kesian mami saya di kubur, adik-adik masih kecil dan mereka perlu belajar untuk capai impian,” katanya lagi.

Sebelum ini, mahkamah mengarahkan suami Allahyarham, Ahmad Shah Rizal, 48, memulangkan wang berkenaan ke dalam akaun pentadbir bersama harta pusaka yang turut diuruskan anak sulung arwah, Aqbar Hakim Jasman, 25. Wang itu sepatutnya dimasukkan dalam tempoh 30 hari.
Difahamkan, Ahmad Shah Rizal sebelum ini pernah memfailkan tuntutan harta sepencarian, termasuk wang tunai RM1.3 juta yang diambil dari peti besi.
Namun, terkini ahli waris memohon di mahkamah supaya saman harta sepencarian itu dibatalkan, selain memfailkan prosiding komital terhadapnya.
Allahyarham Faziani meninggal dunia pada 18 Mei 2019 selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya terbabit kemalangan di Pattani, Thailand.
Tragedi yang berlaku pada Ramadan itu meragut nyawa usahawan berusia 40-an berkenaan, manakala suaminya cedera.
Pasangan itu ketika kejadian dalam perjalanan untuk menyampaikan sumbangan di sebuah rumah tahfiz.



