Analisis kimia kaitkan 15 helaian kertas dengan jurnal 'Love and Peace' Zara Qairina

Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa analisis kimia telah mengesahkan wujudnya kaitan saintifik kukuh antara 15 helaian kertas ditandakan sebagai Y1 hingga Y15 dengan jurnal “Love and Peace” (ditandakan sebagai WK9), yang diperiksa berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Pensyarah dan penyelidik dalam bidang sains forensik daripada Universiti Sains Malaysia, Dr Dzulkiflee Ismail berkata, analisis mendapati Y1 hingga Y15 serta WK9 mempunyai komposisi kimia yang sama dan kedua-duanya boleh dibezakan secara kimia daripada jurnal baharu yang belum digunakan daripada jenama serta jenis sama.

“Secara keseluruhannya, keputusan analisis saya menyokong kesimpulan bahawa kertas Y1 hingga Y15 mempunyai komposisi kimia yang sama dengan kertas jurnal WK9, dan secara kimia boleh dibezakan daripada jurnal yang tidak digunakan daripada jenama dan jenis sama.

“Dengan kata lain, terdapat sokongan saintifik yang kukuh terhadap kesimpulan kertas Y1 hingga Y15 adalah berasal daripada jurnal WK9,” kata saksi ke-78 itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dalam prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina di sini.

Dzulkiflee, yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kimia Forensik daripada Universiti Strathclyde, United Kingdom berkata, beliau menjalankan analisis kimia itu menggunakan spektroskopi Attenuated Total Reflectance-Fourier Transform Infrared (ATR-FTIR) bersama-sama teknik kemometrik.

Beliau berkata, teknik itu membolehkan komposisi kimia kertas dibandingkan berdasarkan corak “cap jari” inframerah tersendiri yang dapat membantu menentukan sama ada kertas terbabit berasal daripada sumber serupa atau berbeza.

Saksi itu juga berkata, Analisis Kompenen Utama (PCA) menunjukkan bahawa Y1 hingga Y15 membentuk kluster yang rapat, menandakan bahawa helaian kertas terbabit mempunyai persamaan kimia yang sangat tinggi antara satu sama lain manakala bacaan daripada WK9 turut berada dalam kelompok sama.

Dzulkiflee berkata, analisis lanjut menggunakan Analisis Diskriminan Linear (LDA) berjaya mengklasifikasikan 100 peratus sampel ke dalam kumpulan masing-masing manakala pengesahan silang statistik merekodkan ketepatan sebanyak 98.5 peratus, dengan WK9 secara konsisten dikelompokkan bersama-sama Y1 hingga Y15 dan bukannya dengan jurnal kawalan yang tidak digunakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemeriksaannya terhad kepada menentukan kemungkinan sumber asal yang sama bagi kertas terbabit berdasarkan komposisi kimia dan tidak melibatkan penentuan individu yang menulisnya.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.

Prosiding inkues bersambung Rabu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top