Putrajaya: Seorang individu yang mencetuskan ancaman bom palsu membabitkan penerbangan domestik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ditahan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Malaysia Airports memaklumkan, insiden itu dikesan pada 5.32 petang semalam, beberapa minit sebelum pesawat dijadual berlepas, sekali gus menyebabkan pasukan Keselamatan Penerbangan mengaktifkan protokol kecemasan dan mengamankan kawasan berkenaan.
“Tindakan pantas pasukan keselamatan dan kerjasama pihak berkuasa memastikan semua penumpang berada dalam keadaan selamat sepanjang proses pemeriksaan.
“Pesawat berkenaan kemudian dibenarkan berlepas dengan baki penumpang pada 7.19 malam, selepas pihak Keselamatan Penerbangan bersama PDRM dan unit pemusnah bom menjalankan penilaian menyeluruh di lokasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pemeriksaan berakhir pada 8.58 malam apabila pihak berkuasa mengesahkan situasi selamat dan ancaman yang diterima adalah palsu.
Operasi di lapangan terbang turut berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




