Ancaman bom: Sekolah di N9 diisytiharkan selamat

Ancaman bom: Sekolah di N9 diisytiharkan selamat

am@hmetro.com.my

Rembau: Sebuah sekolah yang menerima ancaman bom di negeri ini disahkan selamat dan pelajar asrama dibenarkan masuk semula ke bilik masing-masing.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung ancaman bom di sebuah sekolah tinggi Islam dekat Kota, di sini, hari ini.

“Ancaman itu diterima daripada akaun gmail milik sekolah yang memaklumkan terdapat bahan letupan ditanam di sekitar sekolah itu.

“Sebaik pemakluman emel ancaman diterima, polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) meminta pihak sekolah mengosongkan premis sementara siasatan dijalankan,” katanya, hari ini.

Hazri berkata, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan membuat pengesanan unsur letupan di setiap blok, dalam dan luar bangunan sekolah, namun tiada sebarang bentuk letupan yang ditemui.

“Selepas pemeriksaan terperinci dilakukan, kami mengisytiharkan kawasan ini selamat dan mengarahkan pelajar masuk ke asrama masing-masing,” katanya.

Katanya, pihaknya memandang serius terhadap ancaman bom dan tindakan segera akan dilakukan bagi memastikan tahap ancaman berada dalam keadaan terkawal.

“Kami juga berharap dan menasihati supaya masyarakat di sekitar Rembau tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini serta segera membuat laporan sekiranya terdapat maklumat ancaman sebegini,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu membabitkan 19 sekolah di enam negeri di Semenanjung, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, 19 sekolah itu adalah sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah antarabangsa dan sekolah swasta di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Perak dan Negeri Sembilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top