MANGSA penipuan iblis
Matlamat utama iblis adalah menyesatkan manusia supaya melanggar aturan Allah SWT. Manusia pertama yang diperdayakan adalah Nabi Adam AS. Bagaimana caranya?
Iblis mendekati Nabi Adam AS dengan berita palsu, mendakwa baginda akan dikeluarkan dari syurga dan tidak lagi dapat beribadah kepada Allah SWT.
Nabi Adam AS menjadi bimbang, lalu iblis menawarkan “penyelesaian”: baginda mesti memakan buah daripada pohon yang telah Allah larang untuk didekati:
{ … وَلَا تَقۡرَبَا هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ ٱلظَّـٰلِمِینَ }
“Dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka kamu akan menjadi dari orang-orang yang zalim.” [Surah Al-Aʿrāf: 19]
Namun, iblis memperdayakan Nabi Adam AS dengan membisikkan hasutan: larangan Allah hanyalah untuk mendekati pohon tersebut, tetapi memakan buahnya tidak mengapa!
{ فَوَسۡوَسَ لَهُمَا ٱلشَّیۡطَـٰنُ … إِلَّاۤ أَن تَكُونَا مَلَكَیۡنِ أَوۡ تَكُونَا مِنَ ٱلۡخَـٰلِدِینَ }
“Syaitan membisikkan kepada mereka untuk menampakkan aurat mereka yang sebelumnya tertutup, sambil berkata: ‘Tuhan kamu tidak melarang pohon ini melainkan supaya kamu tidak menjadi malaikat atau kekal selama-lamanya (di syurga)’.” [Surah Al-Aʿrāf: 20]
Akhirnya, Nabi Adam AS melanggar perintah Allah SWT dalam keadaan tidak sengaja.
Tipu di syurga, temberang di dunia
Adakah Nabi Adam AS diturunkan ke bumi semata-mata kerana memakan buah tersebut?
Tidak. Allah SWT sememangnya telah menetapkan baginda untuk menjadi khalifah di bumi:
{ وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ إِنِّی جَاعِلࣱ فِی ٱلۡأَرۡضِ خَلِیفَةࣰۖ }
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.’” [Surah Al-Baqarah: 30]
Selepas Nabi Adam AS turun ke bumi, Allah SWT telah menetapkan hukum agar manusia tidak menumpahkan darah sesama mereka. Sebelum ini, bangsa jin termasuk iblis sudah pun melakukan kezaliman tersebut.
Iblis tidak berhenti di situ. Projek seterusnya ialah menanam hasad dengki dalam hati anak Nabi Adam AS sehingga berlaku pembunuhan pertama di dunia:
{ ۞ وَٱتۡلُ عَلَیۡهِمۡ نَبَأَ ٱبۡنَیۡ ءَادَمَ … فَتُقُبِّلَ مِنۡ أَحَدِهِمَا وَلَمۡ یُتَقَبَّلۡ مِنَ ٱلۡـَٔاخَرِ قَالَ لَأَقۡتُلَنَّكَ }
“Dan bacakanlah kepada mereka kisah dua anak Adam (Habil dan Qabil) yang benar: ketika mereka mempersembahkan korban, diterima korban salah seorang, dan tidak diterima dari yang lain. (Qabil) berkata: ‘Aku pasti akan membunuhmu!’” [Surah Al-Māʾidah: 27]
Qabil mengancam mahu membunuh Habil, namun Habil menegaskan bahawa apa yang berlaku adalah ketentuan Allah dan beliau tidak akan membalas ugutan saudaranya:
{ لَبِنْ بَسَطتَ إِلَى يَدَكَ لِتَقْتُلَنِى مَا أَنَا بِبَاسِطِ يَدِيَ إِلَيْكَ لِأَقْتُلَكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبِّ الْعَالَمِينَ }
“Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam.” [Surah Al-Ma’idah: 28]
Projek jahat iblis berterusan
Iblis terus menyusun rancangan supaya manusia sama ada menyembah selain Allah SWT atau mensyirikkan Allah, suatu bentuk jenayah paling terbesar sekali.
Bermula selepas zaman Nabi Adam AS, iblis menyesatkan masyarakat melalui penyembahan berhala:
{ وَقَالُوا۟ لَا تَذَرُنَّ ءَالِهَتَكُمۡ وَلَا تَذَرُنَّ وَدࣰّا وَلَا سُوَاعࣰا … }
“Dan mereka berkata: ‘Jangan kamu tinggalkan penyembahan tuhan-tuhan kamu: Wadd, Suwaa’, Yaghuth, Ya’uuq dan Nasr.’” [Surah Nūḥ: 23]
Dengan alasan memperingati tokoh-tokoh soleh dan kerana tradisi orang-orang terdahulu, masyarakat mula menyembah patung-patung yang diukir.
Nabi Nuh AS diutus untuk membetulkan akidah mereka, tetapi mereka enggan, lalu Allah SWT menimpakan azab banjir.
Pengajaran
Iblis tidak pernah berhenti mempengaruhi manusia. Segala usaha iblis bertujuan menjadikan manusia melanggar perintah Allah SWT, sama ada dalam ibadah, muamalat, pemakanan, atau berpakaian.
Iblis tidak sekadar menyesatkan individu, tetapi membina sistem batil yang menguasai pemikiran, ekonomi, politik, dan undang-undang, menjadikan manusia keseluruhannya tunduk tanpa sedar akan penggubalan undang-undang yang bercanggah dengan sistem syariat Allah SWT.
Maka, kita perlu sentiasa berhati-hati dan kembali kepada panduan Al-Quran dan As-Sunnah.
Wallahua’lam. (Bersambung…….)
(Catatan dan ubahsuai berdasarkan syarahan oleh Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Mujahid Ir Haji Mohamad Fadzil)
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN
29 Rejab 1446H | 29 Januari 2025 – HARAKAHDAILY 30/1/2025

The post Ancaman ideologi moden (Bah. 2) appeared first on Harakahdaily.