am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Bukan hanya kotor akibat najis bersepah, kehadiran ternakan terutama kerbau yang dilepas bebas turut memberi ancaman bahaya kepada penduduk di Taman Barakah, Kampung Kubang Jela dan sekitarnya.
Mohd Ikhtisyamuddin Abd Rashid, 40, berkata, dia merasakan tidak selesa dengan ternakan yang berkeliaran di kawasan penempatan penduduk, malah masalah itu didakwa sudah berlarutan lebih lima tahun.
Katanya, haiwan berkenaan lebih kerap muncul pada waktu malam dan meninggalkan najis di merata-rata, selain berkeliaran atas jalan raya.
“Najis berciciran itu satu hal hingga mengotorkan kenderaan. Tapi lebih bahaya apabila penduduk dan pengguna jalan raya merempuh haiwan ini pada waktu malam.
“Jika nampak ternakan ini berkeliaran, saya dan penduduk lain akan mengusirnya keluar dari kawasan perumahan dan kampung… boleh dikatakan hampir setiap malam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mohd Ikhtisyamuddin berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya kerana masalah itu bukan isu remeh memandangkan ia sudah mengganggu kehidupan penduduk dan mengancam keselamatan.
Penduduk, Abdul Halim Mohd, 58, berkata, isu ternakan dilepas bebas bukan isu baharu dan ia perlu ditangani dengan lebih tegas oleh pihak berkuasa secara menyeluruh.
“Kami penduduk sememangnya ingin melihat tindakan lebih tegas diambil kerana haiwan ternakan yang dibiarkan bebas bukan saja mendatangkan ancaman keselamatan malah membawa kepada persekitaran yang kotor.
“Pemilik ternakan juga seharusnya lebih sensitif terhadap persekitaran kerana haiwan mereka mengganggu keselesaan penduduk terutama najis yang bersepah di jalan raya,” katanya.
Dia juga kesal apabila ada penternak mengambil ringan isu berkenaan dan mahu mereka lebih bertanggungjawab terhadap ternakan masing-masing, sebelum ada nyawa pengguna jalan raya yang melayang.
“Semoga pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi memastikan masalah ini tidak berlarutan lagi,” katanya.
Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




