Ancaman keselamatan maritim di Selat Hormuz kekal pada tahap tinggi

Ancaman keselamatan maritim di Selat Hormuz kekal pada tahap tinggi

ISTANBUL – Tahap ancaman keselamatan maritim di Selat Hormuz kekal pada tahap “tinggi” susulan serangan baru-baru ini ke atas kapal-kapal dagang, lapor Anadolu Ajansi, memetik Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) pada Jumaat.

Dalam notis yang dikeluarkan menerusi Pusat Maklumat Maritim Bersamanya, UKMTO memaklumkan laluan selatan melalui laluan air strategik itu telah diperluaskan dan kekal dibuka kepada semua trafik maritim.

“Walaupun berlaku serangan tanpa provokasi baru-baru ini ke atas kapal dagang, pelaut diingatkan bahawa laluan selatan di Selat Hormuz telah diperluaskan dan kekal dibuka kepada semua trafik,” menurut kenyataan itu.

Pusat berkenaan turut memberi amaran kepada kapal-kapal yang melalui kawasan itu supaya menjangkakan panggilan radio menerusi saluran frekuensi sangat tinggi (VHF) daripada pasukan tentera laut serta sentiasa berwaspada terhadap kawasan bahaya ranjau laut yang telah ditetapkan.

Nasihat itu dikeluarkan susulan beberapa siri serangan ke atas kapal dagang yang melalui Selat Hormuz sehingga mencetuskan pusingan baharu konfrontasi ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Washington telah melancarkan beberapa siri serangan ke atas sasaran ketenteraan dan infrastruktur Iran dengan menyatakan operasi itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal dagang.

Tehran, yang menegaskan bahawa kapal-kapal perlu berkoordinasi dengan pihak berkuasa Iran sebelum melalui laluan air strategik itu serta menolak pelayaran menerusi laluan selain daripada yang ditetapkannya, bertindak balas dengan melancarkan serangan dron yang menyasarkan kemudahan ketenteraan AS di rantau Teluk dan Jordan.

Bulan lepas, Iran dan AS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) menerusi pengantaraan Pakistan yang bertujuan menamatkan konflik ketenteraan antara kedua-dua negara serta mencapai perjanjian damai yang berkekalan. Bagaimanapun, masa depan rundingan itu masih tidak menentu berikutan permusuhan yang masih berterusan. – Bernama

Scroll to Top