Lahad Datu: Ancaman seperti militan, pelanunan, penyeludupan senjata api dan jenayah rentas sempadan yang terus menguji kedaulatan serta keselamatan negara khususnya di perairan Sabah menuntut polis meningkatkan tahap kesiapsiagaan tinggi.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata sehubungan itu, latihan intensif antara yang dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan tempur bersepadu membabitkan elemen darat serta laut.
“Hari ini 43 anggota keselamatan menamatkan Kursus Asas Sea Combat Siri 1/2026, kursus ini berlangsung selama 35 hari bermula 11 Jan yang memberi pendedahan kemahiran operasi di laut termasuk pengendalian bot tempur, pergerakan taktikal, teknik rondaan, navigasi marin serta penggunaan senjata di perairan.
“Kursus berkenaan bukan sekadar latihan biasa, sebaliknya merupakan inisiatif strategik dan kritikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh keupayaan operasi keselamatan perairan negara, khususnya di kawasan pantai dan perairan Sabah yang berdepan pelbagai ancaman keselamatan,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan kursus berkenaan di sini hari ini.
Mohd Khalid berkata modul latihan dirangka khas bagi meningkatkan kefahaman medan perang amfibia serta memperkukuh kecekapan anggota dalam pengendalian bot tempur dan koordinasi operasi bersepadu darat dan laut.
“Penekanan turut diberikan kepada pendekatan pembelajaran hibrid merangkumi latihan teori, praktikal dan latihan akhir di perairan sekitar Lahad Datu serta Semporna bagi memastikan setiap kemahiran dapat diaplikasikan dalam senario sebenar selaras keperluan operasi semasa dan cabaran yang kompleks,” katanya.
Beliau berkata PDRM meletakkan harapan agar setiap ilmu dan kemahiran yang diperoleh anggota terlibat dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam pelaksanaan tugas di unit masing-masing demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




